KSAS tidak jejas dasar capai 50 peratus tanah berhutan - Mohamed Fadzli

Kerajaan Kelantan masih mengekalkan keluasan Hutan Simpan Kekal dan hanya mengeluarkannya daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS. (Gambar hiasan) Gambar kecil: Mohamed Fadzli
Kerajaan Kelantan masih mengekalkan keluasan Hutan Simpan Kekal dan hanya mengeluarkannya daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS. (Gambar hiasan) Gambar kecil: Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Cadangan Pengubahan Rancangan Pemajuan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Kelantan tidak akan menjejaskan dasar kerajaan Persekutuan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri masih mengekalkan keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 629,880.95 dan hanya mengeluarkannya daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS iaitu 514,898.73 hektar.

Menurut beliau, pengekalan KSAS turut melibatkan kawasan punca tadahan air seluas 114,982.22 hektar.

"Jika hutan seluas itu mempunyai mineral yang boleh dimanfaatkan oleh kerajaan negeri, kita rasakan kenapa tidak digunakan.

"Dalam masa yang sama ia tidak menjejaskan hutan simpan, alam sekitar dan perkara lain," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Mohamed Fadzli berkata, cadangan berkenaan juga tidak akan menjejaskan keluasan Taman Negara Kelantan kerana sudah diwartakan pada 1938.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut mengambil kira Hutan Taman Hidupan Liar yang berada di luar HSK seluas 80,377 hektar dan Hutan Tanah Kerajaan seluas 57,071.55 hektar bagi memastikan 50 peratus keluasan tanah berhutan tercapai dan merupakan antara tiga negeri tertinggi memiliki tanah berhutan di Semenanjung Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan berkata, cadangan pengubahan itu juga masih di peringkat Program Publisiti dan Pengubahan Awam mengikut Seksyen 11Bdan Seksyen 13 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan menilai cadangan dan bantahan orang awam dalam Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran (JKSTP) sebelum melalui proses seterusnya," katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri sentiasa berusaha menjaga kepentingan alam sekitar dan biodiversiti di Malaysia dan Kelantan khususnya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad melalui kenyataan tidak bersetuju dengan keputusan Kelantan melaksanakan cadangan perubahan kepada pelan pembangunan berkaitan pengubahsuaian KSAS.

Pengeluaran daripada jumlah KSAS sedia ada dari Jajahan Jeli dan Gua Musang hampir 88 peratus dikatakan menjejaskan rangkaian ekologi Central Forest Spine serta keseimbangan ekosistem kerana kawasan ini adalah KSAS Tahap 1 yang merangkumi kawasan perlindungan sedia ada.