'Apakah Ahmad Zahid mahu ulang episod sama?' - AMK Johor persoal cadangan bubar Parlimen

JOHOR BAHRU - Pemimpin politik diingatkan supaya tidak mengorbankan kestabilan negara demi percaturan kuasa sehingga menjejaskan usaha pemulihan ekonomi dan pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berpandangan Parlimen lebih baik dibubarkan berbanding rombakan Kabinet boleh menimbulkan keresahan serta menggugat kestabilan politik negara.
Beliau berkata, rakyat masih mengingati episod UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai 2021, selain perkembangan politik yang membawa kepada pembubaran Parlimen ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Oktober 2022.
“Apakah sekarang Ahmad Zahid mahu mengulangi episod yang sama?
“Kenyataan begini bukan perkara kecil. Ia boleh menimbulkan keresahan, menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keyakinan pelabur. Akhirnya rakyat juga yang menanggung akibat,” katanya menerusi kenyataan pada malam Selasa.
Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berpandangan tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet ketika ini.
Sebaliknya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata adalah lebih baik pembubaran Parlimen dibuat bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu.
Menurut Faezuddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha memulihkan ekonomi, menarik pelaburan dan melaksanakan pelbagai reformasi demi kepentingan negara.
Bagaimanapun, katanya, usaha berkenaan boleh terjejas sekiranya negara sekali lagi berdepan ketidaktentuan politik akibat percaturan kuasa.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada Anwar untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha membawa Malaysia ke tahap pencapaian lebih baik.
“Cukuplah dengan episod perebutan kuasa yang pernah dan akan merugikan negara lagi.
“Apabila tiba masanya nanti, kita serahkan kepada rakyat untuk menilai dan menentukan siapa yang layak memerintah,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, belum tiba masanya untuk mempertimbangkan rombakan Kabinet.
Ia susulan tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara yang akan berakhir pada 11 Disember ini.
Sementara itu pada 6 November lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya untuk tahanan rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

