'Sedih lihat kawan-kawan yang lemah' - Ahli Parlimen Gerik

Tangkap layar hantaran Fathul Huzir menerusi Facebook pada Rabu. Fathul Huzir (kiri).
Tangkap layar hantaran Fathul Huzir menerusi Facebook pada Rabu. Fathul Huzir (kiri).
A
A
A

IPOH - Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob menyifatkan senario yang berlaku ketika ini merupakan titik tolak kepada pengasingan antara mereka yang istiqamah dan pentingkan diri.

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada tindakan beberapa ahli Parlimen pembangkang khususnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, mandat rakyat tidak seharusnya dikhianati kerana ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, calon-calon Perikatan Nasional (PN) dibantu oleh jentera yang ikhlas untuk memastikan kemenangan.

Jelas beliau, sepatutnya semua ahli Parlimen pembangkang perlu sedar bahawa mereka diserang dan ditekan.

"Bukan kita seorang sahaja yang susah, fikirkan kawan-kawan lain dalam jemaah yang kekal setia dan istiqamah. Kalau mereka boleh, kenapa tidak kita? Ingat, peruntukan itu tidak bermakna kamu telah berjaya untuk selamatkan rakyat.

"Apapun, Alhamdulillah, saya bangga kerana dikelilingi dengan rakan-rakan yang kuat, lionhearted group. Sedih melihat kawan-kawan yang lemah, chickenhearted group," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Fathul Huzir dalam pada itu menasihati rakan-rakan PN untuk terus bersabar dan istiqamah kerana ALLAH sentiasa bersama orang yang bersabar.

Media sebelum ini melaporkan, pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dari Bersatu memutuskan untuk menyatakan sokongan kepada Anwar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak.

Artikel Berkaitan:

Tindakan itu disusuli oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman juga Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar seterusnya Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pada 31 Oktober lalu.

Terbaharu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Aziz Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik juga secara rasmi menyatakan sokongan kepada Anwar bagi memastikan kebajikan penduduk di Parlimen masing-masing terbela dan terus mendapat manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.