Masalah Paya Rumput keutamaan Tok Man

TANGGA BATU - Bukan sekadar pembangunan, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin atau lebih dikenali sebagai Tok Man mahu memastikan masalah harian penduduk seperti kesesakan lalu lintas, banjir dan infrastruktur mendapat perhatian serta tindakan susulan yang jelas.
Menurutnya, usaha itu akan dimulakan dengan pemetaan isu utama penduduk dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan kawasan itu perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal, sebaliknya turut mengambil kira aspek kualiti kehidupan masyarakat.
"Kemudahan awam seperti taman rekreasi, gelanggang sukan dan ruang komuniti perlu sentiasa berada dalam keadaan baik serta boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat.
“Selain itu, aspek keselamatan kejiranan, pencahayaan jalan, kebersihan persekitaran dan akses kepada kemudahan kesihatan juga perlu terus dipertingkatkan.
“Saya percaya persekitaran yang bersih, selamat dan mempunyai kemudahan mencukupi akan membentuk komuniti yang lebih sihat, aktif dan harmoni," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Azman, berdasarkan pertemuan dengan penduduk sepanjang tempoh berkempen, antara isu yang paling banyak mendapat perhatian ialah kesesakan lalu lintas, banjir di kawasan tertentu, keadaan jalan raya dan sistem saliran yang memerlukan penambahbaikan.
Katanya, isu penyelenggaraan kawasan perumahan turut dibangkitkan penduduk selain keperluan memperluas peluang ekonomi kepada peniaga kecil.
“Saya melihat ada keperluan meningkatkan sokongan kebajikan kepada keluarga yang memerlukan dan menyediakan lebih banyak peluang pendidikan serta latihan kemahiran kepada golongan muda.
“Setiap aduan perlu dilihat berdasarkan keutamaan dan tahap kesegeraannya. Ada isu yang memerlukan tindakan segera, manakala isu berkaitan pembangunan infrastruktur memerlukan perancangan serta penyelarasan dengan agensi berkaitan.
“Apa yang penting, suara penduduk mesti terus diberikan perhatian dan setiap isu perlu mempunyai tindakan susulan yang jelas,” katanya.
Ditanya kawasan yang perlu diberikan perhatian, Azman berkata, pembangunan Paya Rumput perlu dilaksanakan secara seimbang dan tidak tertumpu kepada satu kawasan sahaja kerana setiap komuniti mempunyai keperluan berbeza.
“Dalam tempoh 100 hari pertama, keutamaan saya adalah memetakan isu utama penduduk dan menyusun tindakan susulan.
“Perkembangan usaha ini juga perlu dimaklumkan secara berkala agar masyarakat dapat mengetahui status dan kemajuan setiap perkara,” katanya.
Azman mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan perniagaan serta pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

