93 projek 'bermasalah' di Pahang - Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah melawat projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Taman 1-Icon dan projek PRIMA Residensa D'Marina @Pinggiran Putra 2 di Tanjung Lumpur.
Akmal Nasrullah melawat projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Taman 1-Icon dan projek PRIMA Residensa D'Marina @Pinggiran Putra 2 di Tanjung Lumpur.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti sebanyak 93 projek perumahan yang masih dikategorikan 'bermasalah' di Pahang.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, daripada jumlah itu, 77 adalah projek sakit dan sembilan lewat siap, manakala tujuh lagi merupakan projek terbengkalai.

Menurutnya, satu task force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) ditubuhkan bagi mencari punca kepada projek bermasalah ini.

"Antara punca yang dikenal pasti adalah kerana di bawah kawalan pemaju iaitu kegagalan mengurus projek dengan baik sebagai contoh berlaku kematian.

"Selain itu, ia juga berlaku kerana di luar kawalan pemaju iaitu sistem penyambungan utiliti tidak dapat dipenuhi syarikat penyambungan yang terlibat seperti air, elektrik dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu, beliau melawat projek sakit di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Taman 1-Icon dan projek PRIMA Residensa D'Marina @Pinggiran Putra 2 di Tanjung Lumpur.

Akmal Nasrullah memaklumkan kesemua projek sakit dan terbengkalai tersebut adalah projek berlesen di mana satu daripada projek tersebut adalah di bawah Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta selebihnya adalah swasta.

Artikel Berkaitan:

Akmal Nasrullah (dua dari kiri) melihat projek sakit di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Taman 1-Icon dan projek PRIMA Residensa D'Marina @Pinggiran Putra 2 di Tanjung Lumpur.
Akmal Nasrullah (dua dari kiri) melihat projek sakit di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Taman 1-Icon dan projek PRIMA Residensa D'Marina @Pinggiran Putra 2 di Tanjung Lumpur.

Tegasnya, campur tangan daripada kerajaan dengan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa bagi membantu rumah yang dibina dapat disiapkan.

"Mesej kami kepada pemaju adalah jelas, kamu (pemaju) kena buat projek tersebut daripada merancang, menjual dan sebagainya.

"Tetapi dalam keadaan sekarang bila rumah itu sudah melewati tarikh, sepatutnya ramai pihak terkesan termasuklah paling kritikal atau kita bagi tumpuan adalah pihak pembeli," ujar beliau.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah memaklumkan 51 projek telah berjaya dipulihkan di Pahang bermula Januari sehingga September lalu.

"Sebanyak 47 daripadanya berjaya mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan selebihnya berjaya melancarkan kembali gerak kerja dan projek berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, KPKT komited dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemudah cara antara agensi kerajaan dan pemaju perumahan swasta dalam menyediakan kediaman yang berkualiti kepada pembeli rumah yang terjejas selaras dengan prinsip-prinsip Malaysia Madani.