Glomac Berhad lancar projek perumahan Loop City bernilai RM1.6 bilion

FD Iskandar menerangkan projek pembangunan yang bakal dijalankan oleh Glomac Berhad.
FD Iskandar menerangkan projek pembangunan yang bakal dijalankan oleh Glomac Berhad.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SYARIKAT pemaju hartanah terkemuka, Glomac Berhad melancarkan projek perumahan Loop City di Lakeside Residences, Puchong bernilai RM1.6 bilion dengan keluasan 15.3 ekar (enam hektar) dan menawarkan pelbagai fasiliti sedia ada di kawasan tersebut.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar berkata, sebagai permulaan, pihaknya memperkenalkan Loop Residences dengan fasa pertama mempunyai 980 unit pangsapuri seluas 450 kaki persegi (41.80 meter persegi) dan 750 kaki persegi (69.67 meter persegi).

"Harga jualan bermula dari RM230,000 hingga RM660,000 bagi memastikan golongan muda, pembeli rumah kali pertama dan pesara dapat mencari penyelesaian yang ideal berkaitan kediaman impian mereka.

"Pembangunan projek ini akan membantu mengurangkan bebanan kewangan individu yang bekerja di Tier 2 (Bangsar, Petaling Jaya dan Puchong) yang terpaksa tinggal di lokasi Tier 3 (Rawang, Sungai Buloh dan Cyberjaya)," katanya ketika sidang akhbar majlis pelancaran Loop City pada Isnin.

Tambah beliau, Loop City terletak di lokasi strategik yang menawarkan kemudahan dan kebolehcapaian untuk penduduk antaranya stesen Transit Aliran Ringan (LRT), pasar raya, sekolah dan fasiliti kesihatan.

Ujarnya, ia akan memudahkan perjalanan ulang-alik penduduk ke tempat kerja serta membolehkan mereka untuk berhubung ke pusat bandar dengan lebih cepat.

FD Iskandar menunjukkan rumah contoh kepada media di Loop City@Puchong Sales Gallery pada Isnin.
FD Iskandar menunjukkan rumah contoh kepada media di Loop City@Puchong Sales Gallery pada Isnin.

"Lakeside Residences juga akan melancarkan tiga fasa pembangunan pada masa akan datang iaitu Lakeside Terrace berkeluasan tiga ekar (1.2 hektar) membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM41 juta dan Lakeside Semi-D, 23.9 ekar (9.7 hektar) dengan nilai GDV RM416 juta.

"Kemudian, kami juga menyasarkan pembinaan kedai Lakeside Boulevard dengan keluasan enam ekar (2.43 hektar) dan GDV sebanyak RM90 juta serta rumah mampu milik RSKU e-khas seluas empat ekar (1.62 hektar) bernilai RM69.5 juta.

Artikel Berkaitan:

"Namun, buat masa sekarang kami tidak mempunyai tarikh tetap untuk mengumumkan bila projek pembangunan tersebut akan dimulakan," jelasnya.

Mengulas lanjut, FD Iskandar berkata, syarikat berkenaan juga bekerjasama dengan pihak bank untuk menawarkan pelbagai pilihan pembiayaan serta pinjaman sehingga 100 peratus.

"Untuk pembeli rumah kali pertama mahupun yang ketiga, pembiayaan sehingga 90 peratus boleh diperoleh tetapi tertakluk kepada terma dan syarat.

"Pada masa sama, kami juga memastikan semua unit yang direka mematuhi rangkaian 5G untuk memudahkan pemilik rumah mengakses internet seiring dengan kemajuan zaman digital kini," ujarnya.