Rasuah: Bekas eksekutif Petronas dipenjara sehari, denda RM177,000

Seorang bekas eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn Bhd dipenjara sehari dan didenda RM177,000 oleh Mahkamah Sesyen. - Foto Bernama
Seorang bekas eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn Bhd dipenjara sehari dan didenda RM177,000 oleh Mahkamah Sesyen. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) dipenjara sehari dan didenda RM177,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima suapan berhubung kerja-kerja penyelenggaraan.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Amal M Razalan, 36, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding hari ini, yang ditetapkan untuk perbicaraan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mohd Amal mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM35,217.50 daripada seorang pengarah syarikat melalui dua keping cek sebuah bank hasil bersubahat dengan seorang pengarah syarikat lain sebagai upah membantu mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan struktur kepada PCSB di sebuah cawangan bank di Bandar Puteri, Puchong pada 25 Oktober 2019 dan 20 Januari 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28 (1) (c) dan boleh dihukum dengan Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, 44 lagi pertuduhan rasuah termasuk lima pengubahan wang haram yang dihadapi Mohd Amal sebelum ini dipertimbangkan sebagai take into consideration (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican.

Pada 11 Januari lepas, Mohd Amal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 46 pertuduhan rasuah termasuk lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.65 juta berhubung kerja-kerja penyelenggaraan.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh turut didakwa atas 37 pertuduhan rasuah dan enam pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah lebih RM6 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Januari lepas. - Bernama