Rasuah: Guru besar SRA dipenjara sehari, denda RM10,000

Kamaludin ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu.
Kamaludin ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang guru besar dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah terlibat kes rasuah berhubung kerja-kerja selenggara, naik taraf bangunan sekolah rendah agama (SRA) dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor empat tahun lalu.

Kamaludin Sahlan, 51, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika prosiding di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, mahkamah memerintahkan bapa kepada seorang anak itu dipenjara selama lima bulan.

Mahkamah turut mengarahkan wang RM100,000 dalam akaun Tabung Haji milik seorang lelaki atas kesalahan Kamaludin, dilucutkan kepada kerajaan Malaysia selain wang jaminan RM30,000 dikembalikan kepada tertuduh.

Semasa prosiding, peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili Kamaludin merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan menyesal atas kesalahan yang dilakukan.

"Dia bukan sahaja berdepan hukuman penjara atau denda malah mungkin kehilangan kerja, pampasan dan pencennya," kata peguam itu.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman membantah permohonan itu kerana kes rasuah adalah serius dan bermaharajelela dalam masyarakat.

Sebelum ini, Kamaludin bertugas di sebuah SRA dalam daerah Petaling Jaya, didakwa meminta 11 peratus nilai projek daripada seorang lelaki sebagai dorongan serta membantu individu tersebut mendapatkan kerja-kerja selenggara dan naik taraf bangunan dan infrastruktur SRA dalam dua daerah terbabit.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga didakwa menerima RM164,800 menerusi pindahan dalam talian ke akaun bank miliknya daripada seorang lelaki berusia 53 tahun atas tujuan sama.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini dan sebuah cawangan bank di Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini antara Mei 2019 hingga 21 April 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah bersetuju menggunapakai 'Take into Consideration' bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah seperti permohonan tertuduh.

Pada 15 Mac tahun lalu, media melaporkan dua guru termasuk seorang guru besar yang disyaki berkomplot dalam rasuah projek naik taraf 27 bangunan SRA, direman empat hari bagi membantu siasatan kes tersebut.