Konflik Palestin-Israel: PDRM perkemaskan kawalan pintu masuk negara

Ayob Khan memakaikan beret simbolik pentauliahan peserta kursus asas 69 Komando di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta pada Rabu.
Ayob Khan memakaikan beret simbolik pentauliahan peserta kursus asas 69 Komando di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Polis memberi jaminan akan memperkemaskan kawalan keselamatan termasuk di pintu masuk negara susulan kelantangan negara dalam isu Palestin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Cawangan Khas juga akan mempertingkatkan lagi risikan mereka bagi melindungi pihak yang mungkin dijadikan sasaran pihak tertentu.

"Kawalan juga akan dipertingkatkan terhadap sasaran (lokasi) penting termasuk penglibatan warga asing yang ada di sini yang berkemungkinan menjadi sasaran pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di Palestin.

"Kita beri jaminan akan sentiasa mempertingkatkan kawalan dengan mengumpul maklumat kita sebelum mengambil tindakan susulan sekiranya ada cubaan daripada pihak tidak bertanggungjawab atau melanggari undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun 69 Komando kali ke-54 dan penutupan Kursus Asas 69 Komando siri 1/2023 di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Ayob Khan berkata, orang ramai tidak perlu gusar terhadap soal keselamatan negara.

"Berdasarkan rekod (isu ancaman), PDRM dapat mengesan awal tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara. Dalam konteks 'Islamic state' (IS), sebanyak 26 cubaan melancarkan serangan dapat dipatahkan pasukan polis dalam tempoh 2013 hingga 2020.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, rakyat tidak perlu gusar dan takut. Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Isu keselamatan serahkan kepada pihak polis dan kita akan ambil langkah yang sesuai," katanya.