Sindiket antarabangsa jual 'template' penipuan tumpas

Razarudin Husain
Razarudin Husain
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sindiket antarabangsa yang terlibat penjualan template penipuan serta pancingan data kewangan atau ‘phishing’ ditumpaskan dalam serbuan polis, pada Isnin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, serbuan di empat negeri iaitu Sabah, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur itu berjaya memberkas lapan individu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita Thailand berusia lingkungan 29 hingga 56 tahun.

Menurutnya, empat daripada suspek terbabit memiliki beberapa rekod lampau bersabit kes dadah, tipu serta judi.

"Siasatan mendapati salah seorang lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai dalang atau ketua sindiket terbabit yang memainkan peranan pembangun perisian yang akan dijual di dalam serta luar negara iaitu Australia serta Amerika Syarikat.

"Pembongkaran ini telah membawa rampasan peralatan komputer dan server selain sitaan barang kemas, kenderaan serta e-wallet bernilai hampir RM1 juta," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Rabu.

Beliau berkata, serbuan dengan kerjasama Polis Persekutuan Australia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) itu mendapati kegiatan sindiket ini bukan hanya terlibat dengan penipuan, namun turut dikesan menjual template di 'darkweb' kepada mana-mana pihak yang mahu melalukan penipuan di dalam mahu pun luar negara.

Tambah Razarudin, setakat ini, pihaknya menerima 37 laporan membabitkan kerugian bernilai RM1.2 juta.

Jelasnya, sebanyak 17 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati terdapat 1,038 nama pengguna (username) dan kata laluan (password) individu tempatan telah diakses sindiket secara tidak sah," katanya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, modus operandi sindiket yang mula beroperasi sejak 2015 itu ialah menghasilkan template seolah web tertentu dan akan keluar 'pop-up' yang akan diklik hingga membolehkan data, kata laluan dan nama pengguna boleh diakses sindiket.

"Polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman masih menyiasat nilai dan harga bagi jualan template terbabit, siapa pembeli dan lain-lain.

"Sindiket ini juga dikesan terbabit dengan dua skim penipuan pelaburan tidak wujud serta pelaburan mata wang kripto," katanya.