Trend pemandu lori ambil syabu membimbangkan

Ruslin (tengah) dan Aedy Fadly (kiri) pada sidang akhbar selepas Operasi Bersepadu Dadah di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan.
Ruslin (tengah) dan Aedy Fadly (kiri) pada sidang akhbar selepas Operasi Bersepadu Dadah di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan.
A
A
A

SEREMBAN - Trend penyalahgunaan dadah terutama jenis syabu dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan agak membimbangkan.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, kebanyakan pemandu yang ditahan memberi alasan mengambil bahan terlarang itu bagi membolehkan mereka kekal bertenaga sepanjang pemanduan.

"Syabu merupakan sejenis dadah perangsang. Apabila diambil, ia membolehkan seseorang kekal bertenaga dan bekerja lebih lama.

"Namun apabila kesan dadah itu mula berkurangan, mereka boleh hilang kawalan atau tidak sedarkan diri, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Operasi Bersepadu Dadah yang diadakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) dan AADK di Hentian Rehat dan Rawatan Seremban arah Selatan di sini pada malam Rabu.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Ruslin berkata, pihaknya juga mendapati, syabu menjadi dadah pilihan dalam kalangan pemandu untuk kekal bertenaga, termasuk mengambil ketum.

Jelasnya, sepanjang operasi yang dijalankan di seluruh negara dari jam 8 pagi hingga 6 petang, seramai 22 pemandu daripada 224 yang dikehendaki membuat saringan air kencing didapati positif dadah.

"Daripada jumlah itu, 14 pemandu positif syabu, enam ketum dan dua ganja, yang mana sembilan daripadanya ditahan di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka berusia antara 26 hingga 61 tahun, termasuk seorang pemandu bas pelancong yang didapati positif ketum," katanya.

Aedy Fadly memeriksa tayar Lori ketika Operasi Bersepadu Dadah di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan.
Aedy Fadly memeriksa tayar Lori ketika Operasi Bersepadu Dadah di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan.

Beliau turut memaklumkan bahawa pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa tahun ini telah memberi kuasa kepada AADK untuk mengambil tindakan terhadap individu yang menyalahgunakan ketum.

"Ini merupakan antara penambahbaikan dalam usaha menangani masalah penagihan dadah. Individu yang didapati menyalahgunakan ketum kini boleh ditahan dan menjalani rawatan di pusat pemulihan AADK," katanya.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata, JPJ akan mengambil tindkaan tegas termasuk menahan lesen vokasional serta menggantung lesen pemandu yang didapati positif dadah.

Pada masa sama katanya, syarikat pengangkutan turut dipertanggungiawab dan kegagalan mematuhi syarat lesen atau menggaji pemandu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah boleh dikenakan tindakan termasuk penggantungan lesen pengendali.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pemandu yang menyalahgunakan dadah semata-mata untuk mendapatkan tenaga bagi melakukan lebih banyak perjalanan.

"Bukan sahaja pemandu, syarikat pengendali juga perlu bertanggungjawab memastikan pemandu yang digajikan bebas daripada penyalahgunaan dadah," katanya.

Jelas beliau, pihaknya telah melancarkan operasi bersepadu berkenaan secara besar-besaran di seluruh negara bermula pada Rabu.

Operasi tersebut turut melibatkan kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Puspakom, syarikat konsesi lebuh raya serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!