Waspada akaun palsu menyamar ADUN Dong

KUANTAN – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan kewujudan beberapa akaun media sosial palsu yang dikesan menyamar sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal.
Menurut Fadzli, akaun berkenaan menggunakan nama, gambar serta identiti tanpa kebenaran dan bukan miliknya.
"Saya ingin menegaskan bahawa akaun-akaun tersebut bukan milik saya dan saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebarang aktiviti atau komunikasi yang dijalankan oleh pihak berkenaan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai sebarang mesej, permintaan, tawaran atau pautan daripada akaun-akaun tersebut, khususnya yang melibatkan wang, maklumat peribadi atau urusan lain yang meragukan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada malam Rabu.
Beliau yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, turut menyenaraikan akaun media sosial rasminya seperti berikut: Facebook: Fadzli Kamal, TikTok: @fadzlikamal06, Instagram: @fadzlikamal_ dan Threads: @fadzlikamal_.
Fadzli berkata, sebarang akaun selain yang dinyatakan bukan akaun rasmi miliknya.
"Saya memohon kerjasama orang ramai supaya tidak berinteraksi dengan akaun palsu tersebut, selain tidak memberikan sebarang maklumat peribadi atau membuat sebarang transaksi.
"Sekiranya menemui akaun yang menyamar menggunakan identiti saya, sila maklumkan kepada saya atau pihak pejabat," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan budaya menyemak terlebih dahulu sebelum mempercayai dan berkongsi sesuatu maklumat.
"Semoga kita terus mengamalkan budaya semak dahulu sebelum percaya dan berkongsi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

