Tiga pelajar Myanmar maut dalam serbuan tentera

Penunjuk perasaan memegang sepanduk yang menentang rampasan kuasa tentera di Yangon. - AFP
Penunjuk perasaan memegang sepanduk yang menentang rampasan kuasa tentera di Yangon. - AFP
A
A
A

YANGON - Sekurang-kurangnya tiga pelajar Myanmar terbunuh dalam serbuan tentera awal pagi di barat laut negara itu.

Junta Myanmar telah melancarkan tindakan keganasan terhadap pembangkang sejak tentera menggulingkan kerajaan awam, Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa Februari 2021.

Junta berdepan tentangan kuat daripada militia anti-rampasan kuasa 'Pasukan Pertahanan Rakyat' dan tentera pemberontak etnik.

Persekutuan Kesatuan Pelajar Burma berkata dalam catatan Facebook bahawa pelajar itu telah terbunuh dalam serbuan Jumaat ke atas sebuah pejabat tempat aktivis tinggal di perbandaran Budalin di wilayah Sagaing.

Wilayah itu dikatakan kubu kuat anti-junta, telah menyaksikan pertempuran sengit dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Kesatuan pelajar minggu lalu telah menyiarkan gambar di media sosial aktivis pelajar itu yang membantah junta dengan menggunakan sepanduk dan bendera.

Seorang penduduk kampung tempatan yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang akan tindakan balas berkata, tiga aktivis pelajar berusia lewat belasan tahun hingga awal 20-an itu meninggal dunia akibat cedera ditikam.

"Junta menikam pisau ke dada dan memotong lidah mereka," kata penduduk kampung itu kepada AFP, sambil menambah bahawa sekurang-kurangnya lima rumah telah terbakar dalam kejadian itu dan bilangan orang yang tidak diketahui telah ditangkap.

Sejak rampasan kuasa, lebih 3,800 orang awam telah terbunuh. - AFP