Pemberian pencen bekas tentera berkhidmat 21 tahun kekal

Adly ketika sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Adly ketika sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan mengekalkan pemberian pencen kepada bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai perkhidmatan diakui sekurang-kurangnya 21 tahun bagi memastikan kepentingan perkhidmatan dan kesiapsiagaan pasukan itu sentiasa terpelihara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah Lain) 1982 membenarkan setiap anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang berminat untuk memohon melanjutkan sehingga 26 tahun perkhidmatan dan sehingga umur 55 tahun, tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT).

“Anggota yang mempunyai perkhidmatan diakui sekurang-kurangnya 21 tahun layak menerima pencen perkhidmatan sehingga 50 peratus daripada gaji akhir pangkat sebenar manakala anggota yang mempunyai perkhidmatan diakui 26 tahun, layak menerima pencen perkhidmatan sehingga 60 peratus daripada gaji akhir pangkat sebenar.

“Bagi pemberhentian pada tempoh perkhidmatan 12, 15 dan 18 tahun, majoritinya adalah atas permohonan anggota itu sendiri atau pemberhentian atas dasar kepentingan perkhidmatan iaitu mereka yang tidak memenuhi syarat ditetapkan untuk menyambung perkhidmatan,” katanya bagi menjawab soalan Mohd Haznizan Harun (PH-Hulu Selangor) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Anggota yang mempunyai perkhidmatan diakui sekurang-kurangnya 21 tahun layak menerima pencen perkhidmatan sehingga 50 peratus daripada gaji akhir pangkat sebenar - Gambar hiasan
Anggota yang mempunyai perkhidmatan diakui sekurang-kurangnya 21 tahun layak menerima pencen perkhidmatan sehingga 50 peratus daripada gaji akhir pangkat sebenar - Gambar hiasan

Dalam pada itu Adly berkata, agensi di bawah Kementerian Pertahanan seperti Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) turut melaksanakan pelbagai program seperti kerjaya kedua dan sosioekonomi bagi memastikan kebajikan mereka terjaga setelah tamat perkhidmatan.

Menurut beliau, program berkenaan melibatkan kerjasama pihak swasta dan syarikat berkait kerajaan (GLC) bagi terus membantu veteran ATM selain memperkasa skim bantuan sedia ada termasuk kepada veteran tidak berpencen.

“Jika dilihat bagaimana kita mengurus veteran tentera, padanan kerjaya sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk diperhebat.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh renjer hutan antara padanan kerjaya yang dilakukan bukan di perkhidmatan awam, begitu juga dengan beberapa pekerjaan lain. Namun 82 peratus golongan berkenaan memilih bidang keusahawanan, sebab itu kita cuba upskill dan reskill mereka,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!