Naik taraf penternak kepada 'super' besar untuk hapus kartel

Kerajaan dicadangkan untuk menaik taraf penternak sederhana kepada 'super' besar bagi meluaskan persaingan sihat dan menghapuskan kartel dalam usaha menstabilkan harga ayam. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal
Kerajaan dicadangkan untuk menaik taraf penternak sederhana kepada 'super' besar bagi meluaskan persaingan sihat dan menghapuskan kartel dalam usaha menstabilkan harga ayam. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan untuk menaik taraf penternak sederhana kepada 'super' besar bagi meluaskan persaingan sihat dan menghapuskan kartel dalam usaha menstabilkan harga ayam.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, penternak dalam negara mempunyai empat kategori iaitu 'super' besar, sederhana, kontrak dan mikro yang saling bergantung antara satu sama lain.

“Langkah intervensi yang boleh diambil adalah dengan menaik taraf penternak di kategori kedua kepada kategori pertama. Apabila kategori pertama lebih banyak, ia akan tingkatkan persaingan dan tidak akan ada lagi kartel.

“Ini kerana kategori kedua (sederhana) memainkan peranan yang besar di peringkat negeri tetapi tidak mampu untuk naik ke kategori pertama kerana kekurangan modal, mesin, tanah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Siri ke-419 ‘Tarik Subsidi Ayam: Apa Kesan Kepada Rakyat?’ dihoskan oleh Ismail Adnan yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kerajaan perlu mengambil langkah persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan agar bekalan ayam dalam negara sentiasa mencukupi.

Ujarnya, dengan mengambil kira pendapatan rakyat kini berada di paras kritikal ia akan memberi beban kepada mereka sekiranya berlaku peningkatan harga barang khususnya makanan utama.

“Sebelum ini, kita tidak setuju apabila kerajaan melaksanakan apungan harga secara tergesa-gesa. Tapi Alhamdulillah, hasil usaha keras kerajaan melalui kementerian berkaitan yang berbincang bersama pihak industri, peniaga kini dilihat akur menjual ayam pada harga rendah.

Artikel Berkaitan:

“Namun, kita perlu lakukan persediaan untuk jangka masa panjang. Kena kawal harga pasaran supaya tidak membebankan pengguna dan tidak ada pihak yang mendapat keuntungan daripada situasi ini,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan meneliti semula perjanjian kontrak mengenai penetapan harga jualan oleh pengusaha kantin sekiranya berlaku peningkatan harga bahan mentah.

“Pengusaha kantin terikat dengan satu kontrak yang telah menetapkan harga jualan makanan di sekolah dan sekiranya berlaku perningkatan harga, ia memberi kesan kepada mereka.

“Mereka terikat dan tidak boleh berhenti walaupun terpaksa menangung kos yang tinggi kerana akan dikenakan penalti. Menteri pendidikan perlu lihat semula isu ini, kaji bagaimana untuk memastikan kontrak sedia ada tidak membebankan mereka,” ujar beliau.