Ubat luar negara tidak berdaftar bernilai RM1.5 juta dirampas

Foto hiasan. Gambar kecil: Dr Sha'ari
Foto hiasan. Gambar kecil: Dr Sha'ari
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas ubat tidak berdaftar bernilai lebih RM1.5 juta dalam serbuan di tiga premis di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, rampasan itu dijalankan selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKNS yang menjalankan serbuan mendapati sindiket melakukan penipuan pembungkusan semula ubat tidak berdaftar dari luar negara kepada ubat berdaftar yang kemudiannya dijual di pasaran tempatan.

"Hasil siasatan dengan kerjasama Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya membongkar aktiviti sindiket berkenaan yang menyasarkan pembungkusan semula ubat berdaftar keluaran jenama terkenal," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, serbuan di premis yang dijadikan lokasi pembungkusan, penyimpanan, pengedaran dan penjualan ubat tidak berdaftar berkenaan dilakukan dengan kerjasama Polis DIraja Malaysia (PDRM).

"Antara yang dirampas adalah ubat suntikan insulin untuk kencing manis, ubat rawatan jantung, ubat antikolesterol, ubat rawatan asma, ubat darah tinggi dan ubat titis rawatan mata.

"Kes disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000," tegas beliau

Sehubungan itu, katanya, JKNS menasihatkan semua klinik dan farmasi supaya memastikan sumber bekalan ubat-ubatan hanya daripada pemborong berlesen bagi memastikan ubat-ubatan yang dijual berdaftar dan diperoleh dari sumber sah.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, orang ramai dinasihatkan membeli dan menggunakan ubat-ubatan dan produk kesihatan berdaftar bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan terjamin.

"Orang ramai juga digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan ubat-ubatan dan produk yang meragukan," tambahnya.

Aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA).

Selain itu, aduan juga boleh disalurkan di mana-mana CPF berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil.