[VIDEO] Banjir: Harta penduduk banyak rosak, musnah

A
A
A

BANGI - Kejadian banjir di Kampung Bangi Lama di sini menyebabkan kebanyakan harta benda penduduk musnah dan tidak sempat diselamatkan.

Seorang penduduk, Faiz Syuraihan Md Daud, 40, berkata, kesan banjir kali ini amat teruk kerana ia bukan sahaja membawa kesan lumpur tetapi banyak barangan berharga turut terjejas.

Menurutnya, sebuah kereta Mercedes-Benz milik bapanya yang diletakkan di luar rumah turut tenggelam, selain barangan elektrik dan perabot basah lencun.

Beberapa rumah penduduk di Kampung Bangi Lama di sini dinaiki air pada Ahad. Kereta Mercedes-Benz milik bapa Faiz Syuraihan diletakkan di luar rumah turut tenggelam berikutan banjir pada Ahad (kanan).
Beberapa rumah penduduk di Kampung Bangi Lama di sini dinaiki air pada Ahad. Kereta Mercedes-Benz milik bapa Faiz Syuraihan diletakkan di luar rumah turut tenggelam berikutan banjir pada Ahad (kanan).

"Saya rasa keadaan rumah macam kami baharu pindah sebab tidak terurus dan bersepah selain barangan digenangi air," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Faiz Syuraihan berkata, kejadian banjir berlaku semasa dia dan keluarga sedang tidur kira-kira jam 3 pagi Ahad.

Jelasnya, kejadian disedari bapanya, Md Daud Che' Ngah, 77, yang tinggal bersebelahan rumahnya di kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ayah maklumkan selepas menunaikan solat sunat tahajud, dia dapati cuaca hujan dan air parit mula melimpah di bahagian belakang.

"Ayah kemudian terus ke rumah mengejutkan kami sekeluarga dan beritahu air semakin naik dan bimbang masuk ke dalam rumah," ujarnya.

Menurut Faiz Syuraihan, selepas membantu bapanya mengalih beberapa barangan ke tempat selamat, air mula melimpah masuk dari bahagian dapur dan keseluruhan rumah sedalam kira-kira satu meter.

"Air naik sangat cepat dan kami sempat selamatkan beberapa barangan, malah rumah saya yang tinggi sedikit juga terjejas di bahagian dapur," katanya.

Faiz Syuraihan memberitahu, cuaca hujan tidak menentu dan paras air tinggi di Sungai Semenyih serta parit hadapan rumah antara punca air naik dengan cepat.

"Ini kejadian kali kedua selepas banjir sama melanda rumah ayah pada Ogos lalu dan keadaan bertambah teruk kali ini kerana ia turut membawa kesan lumpur," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Zaidi Mohd Arif, 47, berkata, ketika kejadian dia dan ahli keluarganya lain sedang tidur sebelum menerima panggilan daripada jirannya.

Mohd Zaidi berkata, bah melanda rumahnya itu disifatkan antara kejadian terburuk sejak menetap di kampung itu puluhan tahun lalu.

"Ini antara kejadian paling teruk selepas banjir besar pada tahun 2021 dan kali ini ia turut melibatkan banyak kerosakan harta benda," katanya.

Jelasnya, penduduk sehingga kini masih bertungkus lumus membersihkan kediaman masing-masing akibat kesan daripada banjir.

"Air kembali surut sepenuhnya pada jam 10 malam Ahad dan kami masih tidak berbanjirhenti membersih dan mencuci rumah," katanya.

Dalam pada itu, seramai 603 mangsa daripada 162 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan bencana banjir yang dihadapi di beberapa daerah di Selangor.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, satu PPS iaitu Dewan Seroja Kampung Bendahara, Gombak menempatkan lima mangsa daripada tiga keluarga masih dibuka setakat jam 8 pagi Isnin.