Kerajaan ‘tergelincir’ jika tidak laksana subsidi bersasar - Rafizi

Rafizi ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto Bernama
Rafizi ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan sekiranya Kerajaan Perpaduan tidak melaksanakan penyasaran semula subsidi maka ia membantutkan matlamat yang ingin dicapai.

Beliau berkata, kesan itu bukan sahaja melibatkan pentadbiran kini malah pemerintahan akan datang juga akan tergelincir.

Menurutnya, pelaksanaan subsidi secara bersasar akan mengukuhkan kedudukan fiskal negara untuk mencapai sasaran defisit dikurangkan kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2025.

“Kejayaan mengurangkan defisit itu, dijangka akan mengurangkan hutang negara untuk mencapai sasaran-sasaran pengurangan hutang seperti yang telah digariskan dalam Belanjawan 2024.

“Saya boleh sebut, di dalam dewan (Dewan Rakyat). Kalau kita capai sasaran defisit 3.5 peratus pada tahun 2025, maknanya hutang kita boleh berkurangan bermula 2026 dan ke atas.

“Kalau kita tergelincir sasaran itu, maka tempoh masa untuk kita kurangkan hutang negara akan jadi lebih panjang dan susah,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta penjelasan program-program libat urus yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dengan semua pegang taruh sebelum rancangan subsidi bersasar dilakukan pada 2024.

Mengulas lanjut, Rafizi memberitahu antara manfaat lain yang boleh dinikmati daripada pelaksanaan tersebut ialah pengurusan kewangan negara.

Artikel Berkaitan:

“Untuk rakyat, kita juga boleh pastikan bantuan dalam bentuk inisiatif tunai bulanan yang lebih besar daripada yang ada sekarang ini kepada individu dan isi rumah layak. Ia juga akan mengatasi keciciran dalam pemberian bantuan.

“Akhir sekali, ia akan membaiki herotan dalam ekonomi negara, termasuk dari perspektif harga dan tabiat pengguna yang kadang-kadang tidak melambang situasi penawaran dan permintaan dalam ekonomi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan beberapa kaedah utama penyasaran semula subsidi yang telah dibincangkan dan dipertimbangkan.

“Pertamanya, pemberian subsidi secara bersasar mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih secara individu melalui pendekatan perlindungan sosial.

“Kedua, pemberian secara bersasar mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih secara isi rumah dan melalui pendekatan hibrid iaitu gabungan perlindungan sosial dan bantuan sosial.

“Pertimbangan ketiga ialah pemberian subsidi secara bersasar, mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih secara isi rumah tetap dan individu gabungan tetapi dilaksanakan menggunakan kaedah kad subsidi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan dijangka melaksanakan sepenuhnya Program Subsidi Bersasar seawal tahun 2024.

Rafizi memaklumkan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia untuk digunakan dalam pelaksanaan Program Subsidi Bersasar itu akan diuji bermula November ini.