Pemandu, kelindan lori dicekup buang sisa toksik dalam anak sungai

Mohd Famey menunjukkan sisa bahan buangan yang cuba dibuang ke dalam anak Sungai Tebrau.
Mohd Famey menunjukkan sisa bahan buangan yang cuba dibuang ke dalam anak Sungai Tebrau.
A
A
A

KULAI - Dua lelaki ditahan dipercayai terlibat aktiviti membuang bahan buangan berjadual mengandungi sisa toksik ke dalam anak Sungai Tebrau.

Suspek yang merupakan pemandu dan kelindan lori berusia 46 dan 48 tahun itu ditahan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar jam 5.30 pagi.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, kegiatan itu terbongkar selepas penduduk di kawasan berhampiran membuat laporan polis selepas terhidu bau busuk.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kegiatan tersebut sudah dilakukan sejak enam bulan lalu dan pemeriksaan ke atas lori menemukan 20 buah 'intermediate bulk container IBC' mengandungi cecair berwarna hitam, perang dan putih disyaki bahan buangan terjadual.

Keadaan saliran berhampiran anak Sungai Tebrau mempunyai kesan berminyak dan berwarna hitam.
Keadaan saliran berhampiran anak Sungai Tebrau mempunyai kesan berminyak dan berwarna hitam.

"Kami tidak menolak kemungkinan suspek mengumpul bahan buangan terjadual dan mengandungi bahan toksik berbahaya itu dari kilang-kilang berhampiran sebelum ia cuba dilupuskan secara haram.

"Bahan yang disyaki dibuang berupa minyak terpakai dan beberapa bahan yang dikategorikan toksik yang berbahaya," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Famey, JAS Johor telah membuat tindakan susulan bagi mengelakkan bahan buangan berkenaan mengalir ke sungai utama.

Jelasnya, lokasi kejadian dan kawasan penempatan penduduk terletak agak jauh sekitar lima kilometer.

"Siasatan dilakukan anggota di bawah jambatan yang merupakan lokasi kejadian menemukan kesan berwarna hijau dan merah di atas permukaan tanah serta cecair putih berwarna putih dan perang di dalam longkang yang berbau tengik.

"Sisa buangan itu didapati terus mengalir ke dalam longkang bersebelahan kebun kelapa sawit berhampiran di mana ia menghubungkan anak Sungai Tebrau," katanya.

'Oil boom' yang diletakkan JAS Johor di dalam saliran berhampiran anak Sungai Tebrau.
'Oil boom' yang diletakkan JAS Johor di dalam saliran berhampiran anak Sungai Tebrau.

Menurut beliau, sampel buangan telah diambil di lokasi kejadian untuk dihantar ke makmal kimia untuk dianalisis.

Sementara itu, tinjauan di kawasan saliran sepanjang kira-kira 300 meter berhampiran anak Sungai Tebrau mendapati masih terdapat kesan berminyak berwarna hitam dan masih berbau tengik.

Bagaimanapun, JAS telah memasang 'oil boom' bagi menghalang bahan pencemaran merebak ke sungai utama.


Pemandu, kelindan lori direman empat hari

Pemandu dan kelindan lori yang dipercayai terlibat insiden pelupusan bahan terjadual secara haram di Kampung Pemuda Jaya di Seelong, direman empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi selepas permohonan dibuat Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di Mahkamah Majistret Kulai pada Ahad.

Reman kedua-dua suspek berusia 46 dan 48 tahun itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas mereka mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kedua-dua suspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kulai.
Kedua-dua suspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kulai.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda maksimum RM500,000.

Sebelum itu, kedua-dua suspek lelaki itu tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan diiringi pegawai JAS Johor.