Lelaki ditahan bantu siasatan kes pukul, cederakan anak

Polis menerima satu rakaman video tular menerusi aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki didakwa sedang memukul seorang kanak-kanak. - Gambar hiasan
Polis menerima satu rakaman video tular menerusi aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki didakwa sedang memukul seorang kanak-kanak. - Gambar hiasan
A
A
A

KULIM - Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan pada Khamis bagi membantu siasatan kes memukul dan mencederakan anak lelakinya berusia lapan tahun yang dipercayai berlaku di Lunas di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, pihaknya menerima satu rakaman video yang tular menerusi aplikasi TikTok kira-kira jam 10 pagi pada hari sama.

Beliau berkata, video berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan seorang lelaki didakwa sedang memukul seorang kanak-kanak.

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menahan seorang lelaki di Padang Serai lebih kurang jam 2 petang untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Azizul berkata, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan apa sahaja kenyataan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

Tambah beliau, pihaknya menyeru kepada orang ramai agar bersama-sama dengan pihak polis dalam membanteras kegiatan jenayah khususnya di Kedah dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan perlakuan jenayah kepada mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian MERS 999.

Artikel Berkaitan: