Bersatu gantung keahlian Iskandar Dzulkarnain 4 tahun

Hamzah, Iskandar Dzulkarnain
Hamzah, Iskandar Dzulkarnain
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggantung keahlian Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dalam parti itu selama empat tahun susulan pendirian beliau menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu pada Jumaat bersidang bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan pelanggaran Perlembagaan oleh Iskandar Dzulkarnain yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar.

"Selepas diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada Datuk Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.

"Sehubungan dengan itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain digantung keahliannya berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang bagi tempoh empat tahun berkuat kuasa dari tarikh keputusan dan hukuman, iaitu 3 November 2023," katanya dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.

Iskandar Dzulkarnain pada 12 Oktober lalu mengumumkan menyokong kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Katanya, keputusan tersebut diambil setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Selepas itu, Ahli Parlimen Labuan daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaili Abdul Rahman turut mengisytiharkan sokongan yang sama kepada kepimpinan Anwar.

Suhaili memberitahu, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, serta masalah bekalan air dan elektrik di kawasannya.

Artikel Berkaitan: