Anggota tentera meninggal dunia selepas sertai acara larian

Allahyarham Mohd Irfan Faizal (gambar kecil) sempat bergambar kenangan bersama Mohd Noor Helmy sebelum acara larian bermula.
Allahyarham Mohd Irfan Faizal (gambar kecil) sempat bergambar kenangan bersama Mohd Noor Helmy sebelum acara larian bermula.
A
A
A

MELAKA - Seorang anggota tentera rebah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka selepas menyertai Program Larian Bersama Bomba 2024 Malaysia Madani di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir malam Sabtu.

Allahyarham Mohd Irfan Faizal Ismail, 41, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital kira-kira jam 10.26 malam itu, sempat merakamkan gambar kenangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abd.Halem sebelum acara larian bermula.

Mohd. Noor Helmy berkata, beliau yang turut serta dalam acara larian sejauh lima kilometer terkejut dengan berita sedih itu lebih-lebih mengetahui Allahyarham sebelum itu begitu teruja untuk menemuinya pada program tersebut.

"Allahyarham sempat mengambil gambar beramai-ramai bersama saya, namun kemudian saya dimaklumkan mangsa telah rebah pada sesi cabutan bertuah yang dilakukan selepas selesai aktiviti larian itu.

Mohd Noor Helmy ketika bertemu dengan isteri arwah Nor Asmahwati Hamdan (dua,kiri) di Unit Forensik Hospital Melaka, di sini, pada Ahad.
Mohd Noor Helmy ketika bertemu dengan isteri arwah Nor Asmahwati Hamdan (dua,kiri) di Unit Forensik Hospital Melaka, di sini, pada Ahad.

"Saya difahamkan Allahyarham menyertai acara larian ini kerana ingin berjumpa dengan saya namun tidak sangka itu adalah pertemuan kali pertama dan terakhir kami," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Ahad.

Tambahnya, Allahyarham yang merupakan bapa kepada lima orang anak seorang yang aktif dan sering terlibat dalam acara larian seumpama ini dan keluarga juga tidak menyangka insiden yang menimpa arwah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kejadian itu dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan serangan jantung.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohd Noor Helmy turut berkesempatan menziarahi waris keluarga Allahyarham di Unit Forensik Hospital Melaka.

Difahamkan Allahyarham yang bertugas di Markas 1 Briged, Kem Rasah, Negeri Sembilan telah menyertai tentera pada Jun 2004 dan dijadualkan pencen pada Jun tahun depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!