Keputusan PRK KKB bukti trend pola undi berasas kaum

Identiti kaum terus menjadi faktor utama yang menentukan pilihan parti pengundi berbanding kelas sosial, pendapatan dan gender. Tangkap layar kenyataan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) pada Sabtu. - Foto Bernama
Identiti kaum terus menjadi faktor utama yang menentukan pilihan parti pengundi berbanding kelas sosial, pendapatan dan gender. Tangkap layar kenyataan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH) menunjukkkan penerusan trend pola pengundian berasaskan kaum.

Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dalam satu kenyataan berkata, trend itu turut diperhatikan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) pada 2023 yang mana Perikatan Nasional (PN) menguasai undi Melayu manakala PH mengungguli kaum lain terutamanya Cina.

Menurutnya, analisis terperinci keputusan PRK tersebut memperlihatkan undi Melayu kepada PN dianggarkan meningkat daripada 75 kepada 83 peratus pada PRN 2023.

“PN hanya mencatatkan kemerosotan undi Melayu ini dalam kalangan pengundi awal yang menunjukkan trend bertentangan dengan pengundi biasa manakala tahap sokongan pengundi Cina kepada PH pula kekal tinggi sekitar 97 peratus dalam kedua-dua PRN 2023 dan PRK 2024.

“Dalam kalangan undi India pula, dianggarkan sekitar 85 peratus mengundi PH dan selebihnya memilih PN. Dapatan ini menunjukkan tiada perubahan ketara pola pengundian di semua pusat mengundi,” katanya pada Sabtu.

Keputusan PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan calon PH, Pang Sock Tao menewaskan tiga lagi calon masing-masing dari PN, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas dengan majoriti 3,869 undi selepas meraih 14,000 undi.

Keputusan tersebut menunjukkan gabungan itu berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi dalam PRN pada Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, MASA berkata, melalui tinjauan pendapat yang dijalankan pihaknya sebelum PRK Kuala Kubu Baharu iaitu pada 30 Mac hingga 7 April menunjukkan 59 peratus responden pengundi berdaftar menyatakan isu kos sara hidup, inflasi dan pembangunan ekonomi menjadi kebimbangan utama.

Artikel Berkaitan:

“Hanya 2 peratus menyatakan mereka bimbang mengenai kedudukan hak kaum masing-masing tetapi keputusan PRK tersebut menunjukkan pola pengundian lebih dipengaruhi oleh faktor identiti kaum berbanding ekonomi.

“Ini bermaksud, identiti kaum terus menjadi faktor utama yang menentukan pilihan parti pengundi berbanding kelas sosial, pendapatan dan gender,” jelasnya.

Tambah MASA, peningkatan undi Melayu kepada PN menunjukkan PH masih gagal mengemukakan dasar-dasar yang boleh meyakinkan pengundi kaum itu.

Ujarnya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji penjawat awam, janji pelaksanaan projek pembangunan dan penglibatan aktif UMNO berkempen untuk calon PH dari DAP tidak memberi kesan kepada sikap pengundi Melayu.

“Pada masa yang sama, walaupun PN mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan pengundi Melayu, parti berkenaan tidak menunjukkan pencapaian positif dalam meraih undi bukan Melayu.

“Sekiranya trend ini berterusan dan menjadi semakin ketara sehingga PRU16, PN berpotensi untuk terus menguasai kawasan majoriti Melayu manakala PH pula ungguli kawasan majoriti bukan Melayu seperti Kuala Kubu Baharu.

“Menuju PRU16, PN dan PH memerlukan strategi yang ampuh untuk meraih keyakinan pengundi merentasi kaum,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!