Iskandar Dzulkarnain tetap berdepan hukuman - Razali

Razali (tengah) ketika sidang akhbar selepas melawat lokasi kapal karam di Pulau Kapas.
Razali (tengah) ketika sidang akhbar selepas melawat lokasi kapal karam di Pulau Kapas.
A
A
A

MARANG - Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid tetap berdepan hukuman susulan tindakannya yang mengumumkan sokongan kepada kerajaan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, bagaimanapun bentuk hukuman yang akan dikenakan terhadap Iskandar Dzulkarnain yang juga Bendahari Bersatu Perak itu adalah bergantung menerusi keputusan yang dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti tersebut.

"Sebab benda ini serius apabila sudah sokong belah sana (Kerajaan Perpaduan). Jadi hukuman itu kita serah pada biro politik dan Lembaga Disiplin.

"Desakan (dipecat) itu tak tahu la sama ada dipecat. Tak ada lah sampai tak ada hukuman... mesti ada hukuman cuma saya tak boleh nak kata hukuman dikenakan sebab saya bukan Pengerusi Lembaga Disiplin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat lokasi kapal karam di Pulau Kapas, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya menyerahkan keputusan kepada Lembaga Disiplin berhubung soal tindakan bakal dikenakan kepada Iskandar Dzulkarnain

"Pasal keputusan muktamad (hukuman) itu saya tak tahu... kita serah pada Lembaga Disiplin tapi akan ada tindakan dikenakan," ujarnya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan nasib Iskandar Dzulkarnain akan ditentukan di dalam mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu pada Khamis ini.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Susulan kenyataan itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan suatu mesyuarat akan diadakan dalam beberapa hari lagi untuk membincangkan perkara itu, sekali gus memutuskan tindakan selanjutnya ke atas Iskandar Dzulkarnain.

Sebelum ini, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang melalui satu kenyataan, mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan berbuat demikian, akan didakwa atas kesalahan rasuah.