Pas bersolidariti bersama Teresa Kok, kutuk tindakan ugut bunuh

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas pada Ahad menyatakan solidariti parti itu terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dan mengutuk keras insiden ugutan bunuh terhadap pemimpin DAP itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Teresa berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang daripada apa-apa juga perbuatan jenayah dan yang bertentangan dengan undang-undang.

Beliau berkata, Pas juga menuntut agar siasatan dan pendakwaan terhadap pihak terbabit disegerakan memandangkan kes keganasan dan merosakkan itu kerap berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan ahli politik, anggota pasukan keselamatan, ahli sukan, ahli perniagaan dan sebagainya.

"Teresa (Kok) sebagai rakyat dan juga Ahli Parlimen berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang negara, selain berhak menjalani kehidupan, baik sebagai individu mahupun ahli politik, dengan aman dan bebas daripada ketakutan atau ancaman.

"Pas juga mengambil maklum bahawa pihak polis sudah pun memulakan siasatan kes di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan... Pas berharap ia dapat disegerakan kerana perbuatan jenayah seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat kita,” katanya dalam kenyataan malam Ahad.

Takiyuddin berkata, Pas turut menggesa semua pihak sentiasa mematuhi undang-undang dan menjunjung budaya aman, menolak semua bentuk perbuatan atau kecenderungan yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan individu dan masyarakat, tanpa mengira warna kulit, kepercayaan, pegangan politik dan sebagainya.

Katanya, masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting bagi memastikan keamanan dan ketertiban sosial dalam negara sentiasa terjamin serta dinikmati oleh semua pihak dan golongan.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan daripada Teresa berhubung ancaman surat berisi dua butir peluru dan satu kertas putih bersaiz A4 tertera perkataan ugutan bunuh yang diletakkan di peti surat kediamannya semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!