Bersatu serah surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain

Dari kiri:Iskandar Dzulkarnain, Hamzah
Dari kiri:Iskandar Dzulkarnain, Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah tersebut diambil sebelum sebarang tindakan dikenakan ke atas Iskandar Dzulkarnain mengikut perlembagaan parti.

"Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga antara lain membincangkan kedudukan Iskandar Dzulkarnain,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Iskandar Dzulkarnain secara terbuka menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup di kawasannya.

Sementara itu Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut memaklumkan Perhimpunan Agung tahunan parti itu akan diadakan pada November ini.

Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada Khamis yang dipengerusikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat ketetapan perhimpunan itu akan berlangsung dari 23 hingga 25 November 2023 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

“Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Dr Radzi Jidin.

"Perhimpunan Agung Tahunan bermula dengan perasmian sayap-sayap Bersatu pada 23 November sebelum diikuti Perhimpunan Agung pada 24 dan 25 November,” katanya.

Artikel Berkaitan: