Konflik Palestin-Israel: Tiada unsur ancaman keselamatan negara

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan mengesahkan tiada sebarang tanda wujudnya unsur-unsur ancaman terhadap keselamatan negara susulan konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keselamatan negara berada dalam keadaan terkawal, namun polis masih mengambil beberapa langkah untuk memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

"Tiada sebarang tanda-tanda yang boleh dibuat kesimpulan bahawa wujudnya unsur-unsur ancaman terhadap keselamatan. Ini perkara penting untuk kita maklumkan kepada rakyat. Polis telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan keselamatan negara terus terkawal.

"Antara perkara yang dilakukan oleh polis iaitu meningkatkan tahap kesiapsiagaan pada kawalan sempadan negara, bekerjasama rapat dengan semua negara jiran, bermaksud dari segi perkongsian risikan.

"Ini bagi memastikan keamananan dan kawalan keselamatan sempadan itu terkawal," katanya pada Sabtu.

Sebelum itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan telah merasmikan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kebun Bunga, Lee Boon Heng di Mount Erskine di sini.

Saifuddin berkata, sepanjang konflik berlaku dan sepanjang penguatkuasaan kawalan sempadan dilaksanakan, status laporan awal yang diperolehi adalah dalam keadaan status quo dan terkawal.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin (dua dari kanan) menyerahkan bakul makanan penduduk sekitar Dun Kebun Bunga sempena sambutan Deepavali pada Sabtu.
Saifuddin (dua dari kanan) menyerahkan bakul makanan penduduk sekitar Dun Kebun Bunga sempena sambutan Deepavali pada Sabtu.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kerajaan akan mewujudkan satu entiti keselamatan siber baharu yang akan diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Saifuddin menambah, rang undang-undang berhubung perkara itu akan dibentangkan bersesuaian dengan entiti baharu tersebut.

"Akan ada rang undang-undang yang akan dibentangkan sesuai dengan entiti baharu ini.

"Langkah ini diambil sebagai respons kerajaan terhadap potensi ancaman jenayah siber yang semakin meningkat.

"Itu adalah perkembangan yang telah kita bincang di peringkat Jemaah Menteri.

"Sekarang dalam pembikinan dan saya tidak fikir akan dimasukkan dalam jadual terdekat, tetapi kita masih ada dua, tiga sesi tahun depan," katanya.

Beliau berkata, proses merangka rang undang-undang berkenaan entiti baharu agensi keselamatan siber itu sedang diolah oleh Jabatan Peguam Negara.

"Perbincangan dalam proses dan belum diketahui peratus perkembangan proses berkenaan," katanya.