Sindiket palsu dokumen didalangi lelaki Nigeria kecundang

Lelaki warga Nigeria yang juga dalang sindiket pemalsuan dokumen diberkas JIM di Kajang, Selangor pada 25 Oktober lalu.
Lelaki warga Nigeria yang juga dalang sindiket pemalsuan dokumen diberkas JIM di Kajang, Selangor pada 25 Oktober lalu.
A
A
A

KAJANG - Lelaki Nigeria yang mendalangi sindiket pemalsuan dokumen dan menjualnya dengan harga RM1,000 senaskhah berjaya diberkas dalam serbuan di sini pada 25 Oktober lalu.

Operasi bermula jam 10 pagi oleh pasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, penahanan dalang berusia 46 tahun itu kemudian membawa serbuan di rumahnya di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur dan berjaya menemui 10 pasport Nigeria dan pelekat pas pelajar yang disyaki palsu.

Antara dokumen palsu yang dirampas Jabatan Imigresen susulan tangkapan dua suspek warga Nigeria dan Ghana pada 25 Oktober lalu.
Antara dokumen palsu yang dirampas Jabatan Imigresen susulan tangkapan dua suspek warga Nigeria dan Ghana pada 25 Oktober lalu.

Menurutnya, suspek mendedahkan pelekat pas pelajar itu diperoleh daripada seorang lelaki warga Ghana.

"Soal siasat terbabit berjaya memberkas lelaki Ghana berusia 56 tahun itu di Jalan Kasturi, Kuala Lumpur selain rampasan sekeping pelekat pas pelajar palsu bersamanya.

Seorang lelaki warga Ghana yang ditahan di Kuala Lumpur, pada 25 Oktober lalu, dengan rampasan pelekat pas pelajar disyaki palsu.
Seorang lelaki warga Ghana yang ditahan di Kuala Lumpur, pada 25 Oktober lalu, dengan rampasan pelekat pas pelajar disyaki palsu.

"Susulan itu satu lagi serbuan dibuat ke atas rumah suspek di Cheras dan menjumpai dua keping pelekat pas pelajar, enam keping i-kad JIM serta sekeping kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang kesemuanya palsu.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas ialah kad pelajar pelbagai universiti serta kolej di sekitar Lembah Klang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menyasarkan warga Afrika yang mempunyai masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa.

Sindiket mengenakan bayaran sekitar RM1,000 bagi setiap pasport dan RM200 untuk lain-lain dokumen seperti pas dan kad pelajar.
Sindiket mengenakan bayaran sekitar RM1,000 bagi setiap pasport dan RM200 untuk lain-lain dokumen seperti pas dan kad pelajar.

Jelasnya, sindiket akan mencari dan menghampiri mereka dan kemudian menawarkan perkhidmatan untuk menyediakan dokumen seperti pasport, pas pelajar, i-Kad, kad UNHCR atau kad pelajar palsu.

"Siasatan awal mendapati sindiket mengenakan bayaran sekitar RM1,000 bagi setiap pasport dan bayaran RM200 sekeping untuk lain-lain dokumen seperti pas pelajar serta kad pelajar," ujarnya.

Tambahnya, suspek ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.