Selangor beri insentif RM1,000 sokong wanita bekerja

Anfaal (tengah) ditemui pada majlis pelancaran Insentif Mamakerja di sebuah hotel di Seksyen 14, Shah Alam pada Khamis.
Anfaal (tengah) ditemui pada majlis pelancaran Insentif Mamakerja di sebuah hotel di Seksyen 14, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menerusi Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat melancarkan insentif penjagaan anak bagi wanita bekerja atau Insentif Mamakerja pada Khamis.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Shaari berkata, ia dilancarkan sebagai pelaksanaan perkara keempat dalam Lima Tekad 100 Hari diumum Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini.

"Insentif ini bertujuan mengangkat martabat wanita bekerja yang mempunyai anak-anak serta memastikan wanita terus kekal dalam sektor pekerjaan.

"Program baharu Kerajaan Perpaduan negeri Selangor ini akan memberi manfaat berjumlah RM1,000 kepada seramai 5,000 ibu bekerja bagi meringankan beban penjagaan anak-anak terutama dari segi kos," katanya ditemui pada majlis pelancaran Insentif Mamakerja di sebuah hotel di Seksyen 14 di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Anfaal ketika berucap memaklumkan statistik terkini daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh di Selangor adalah rendah iaitu 69.9 peratus berbanding lelaki sebanyak 83.5 peratus.

Selain itu, menurutnya, kajian Merdeka Centre dan The Asia Foundation di Selangor pada tahun 2020-2022 turut menunjukkan wanita bekerja menghadapi cabaraan kos penjagaan anak yang tinggi.

Anfaal (empat kanan) melancarkan Insentif Mamakerja di sebuah hotel di Seksyen 14, Shah Alam pada Khamis.
Anfaal (empat kanan) melancarkan Insentif Mamakerja di sebuah hotel di Seksyen 14, Shah Alam pada Khamis.

"Justeru, melalui tema 'Selangor Penyayang: Memartabat Penjaga, Melindungi yang Dijaga', insentif MamaKerja menjadi dorongan penubuhan kerangka ekonomi penjagaan atau 'care economy' yang bakal menawarkan solusi jangka panjang dan holistik khusus bagi golongan sasar iaitu penjaga, kanak-kanak, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anfaal berkata, Insentif MamaKerja juga merupakan strategi serampang dua mata bagi menyokong partisipasi wanita dalam tenaga buruh selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu mempertingkatkan inklusiviti sosial dan kesejahteraan rakyat di mana tumpuan khas diberikan kepada wanita dan institusi keluarga.

Selain itu, menurutnya, RS-1 juga menggariskan kepentingan sektor penjagaan dan penyediaan pusat asuhan yang berkualiti seperti taska, tadika dan transit yang menjadi sistem sokongan bagi wanita bekerja.

"Dengan terwujudnya pusat penjagaan berkualiti, pasti dapat menjamin keselamatan dan pembangunan kanak-kanak, dalam masa yang sama kaum ibu dapat bekerja dengan lebih tenang dan meningkatkan produktiviti mereka," katanya.

Antara syarat kelayakan bagi memohon Insentif Mamakerja termasuklah rakyat Selangor atau yang bermastautin lebih 10 tahun, bekerja dan bermajikan, berpendapatan isi rumah berjumlah RM8,000 dan ke bawah dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang anak berumur 12 tahun ke bawah serta pengundi di Selangor.

Permohonan bagi insentif MamaKerja akan dibuka pada 1 November menerusi aplikasi Selangkah dan pemohon perlu melengkapkan permohonan dengan memuat naik dokumen sokongan yang diperlukan.

Penerima yang layak akan menerima bantuan tunai ke akaun masing-masing dalam tempoh 14 hari bekerja selepas status permohonan berjaya.

Maklumat lanjut berkenaan inisiatif ini boleh didapati atau menerusi laman sesawang https:/mamakerja.selangkah.my/.

Sebarang pertanyaan berhubung insentif ini boleh diajukan kepada talian hotline Selcare 1-800-22-6600.