Kajian baharu kaitkan trauma kanak-kanak dengan kematian Covid-19

Individu yang hidup susah semasa kanak-kanak, seperti didera atau diabaikan cenderung untuk dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia akibat Covid-19 ketika dewasa, menurut satu kajian baharu oleh penyelidik Universiti Pittsburgh di Amerika Syarikat (AS).(Gambar hiasan) - Foto 123RF
Individu yang hidup susah semasa kanak-kanak, seperti didera atau diabaikan cenderung untuk dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia akibat Covid-19 ketika dewasa, menurut satu kajian baharu oleh penyelidik Universiti Pittsburgh di Amerika Syarikat (AS).(Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

LOS ANGELES - Individu yang hidup susah semasa kanak-kanak, seperti didera atau diabaikan cenderung untuk dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia akibat Covid-19 ketika dewasa, menurut satu kajian baharu oleh penyelidik Universiti Pittsburgh di Amerika Syarikat (AS).

Kanak-kanak yang melaporkan sendiri penganiyaan yang dialami mereka dikaitkan dengan kebarangkalian 12 hingga 25 peratus lebih tinggi untuk masuk hospital atau mati kerana Covid-19, menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Epidemiology and Community Health, lapor Xinhua.

Ini merupakan kajian pertama yang menemui kaitan antara Covid-19 dengan pengabaian dan penderaan kanak-kanak.

Sementara faktor umur, jantina, etnik, kesihatan dan sosiodemografi telah dikaitkan dengan hasil kajian seumpama itu dalam tempoh pandemik, ini kajian pertama yang menemui kaitan antara Covid-19 serta pengabaian dan penderaan semasa usia kanak-kanak.

"Penemuan ini menunjukkan bagaimana trauma pada peringkat awal kehidupan boleh memberi kesan berpanjangan kepada kesihatan beberapa dekad kemudian," kata seorang penyelidik di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pembelajaran universiti itu, Jamie L. Hanson.

"Kita mungkin memerlukan intervensi yang disasarkan untuk individu dan komuniti tertentu yang terkesan akibat kesukaran semasa zaman kanak-kanak bagi mengurangkan kesan berpanjangan wabak itu," kata Hanson. - Bernama


Sebuah negeri di Australia berdepan gelombang baharu jangkitan Covid-19

Sementara itu di CANBERRA, penurunan imuniti menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di Australia Selatan (SA), kata ketua kesihatan negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan SA pada Jumaat, terdapat 1,691 kes baharu Covid-19 dan empat kematian dilaporkan di seluruh negeri itu dalam tempoh pelaporan tujuh hari yang berakhir pada Selasa, lapor Xinhua.

Jumlah kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 55 peratus berbanding 1,089 kes dalam tempoh tujuh hari sebelum ini yang juga angka mingguan tertinggi sejak Jun.

Ketua Pegawai Kesihatan Awam SA, Nicola Spurrier berkata, peningkatan kes itu jelas adalah permulaan 'gelombang baharu' jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau menafikan peningkatan itu ada kaitan dengan varian BA.2.86 - atau Pirola - yang kali pertama dikesan di Australia pada September.

Spurrier turut meramalkan SA akan mengalami satu lagi lonjakan kes Covid-19 dalam enam bulan lagi.

Kurang antara dos vaksinasi adalah kunci untuk mencegah penularan wabak, katanya.

Angka terkini yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di SA sejak permulaan wabak itu kepada 939,051 kes manakala jumlah kematian kepada 1,624 orang.