Kematian kanak-kanak: Polis siasat hospital, penjaga

Datuk Hussien Omar Khan.
Datuk Hussien Omar Khan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis menjalankan siasatan terhadap hospital dan penjaga seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah(HTAR), Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan telah diterima daripada kedua-dua belah pihak berhubung kejadian tersebut.

"Polis telah menerima dua laporan iaitu satu daripada pihak hospital dan satu lagi daripada bapa mangsa.

"Bapa mangsa sebelum ini mendakwa anak perempuannya yang berumur 10 tahun itu dibawa untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan sebelum meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Siasatan secara terperinci telah dimulakan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Polis memberi jaminan bahawa siasatan terperinci, menyeluruh, adil serta saksama akan dijalankan terhadap aduan kedua-dua belah pihak," katanya.

Menurutnya, pihaknya sama sekali tidak pernah menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan kes ini.

"Orang ramai diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Natalie Anak Allin di talian 03-55145222 atau 019-6422985," katanya.

Pada Jumaat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menerusi kenyataan menyatakan pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mendapatkan rawatan di hospital itu baru-baru ini.

Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, perkara itu dirujuk selepas video terbabit tular di aplikasi TikTok.