MP PN sokong PM: Kesetiaan kepada parti sukar ditelah

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Suhaimi
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Suhaimi
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan dua ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sukar ditelah dan berlaku atas sebab tertentu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, masing-masing mempunyai pemikiran tersendiri dan berdepan permasalahan di kawasan diwakili, dan ia mungkin mendorong wakil rakyat berkenaan bertindak atas isu berbangkit.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, isu kesetiaan terhadap parti politik yang diwakili tidak timbul kerana tindakan mereka didorong oleh perkara yang perlu diberi lebih keutamaan.

“Semua ada pemikiran masing-masing dan masalah berbeza. Soal setia atau tidak setia terhadap parti tidak timbul dalam isu ini.

“Ada orang politik yang yakin terhadap partinya dan ada yang hanya memikirkan kepentingan dirinya sendiri. Hari ini pendirian lain, esok berubah pendirian,” ujarnya.

Mohd Suhaimi berkata, namun terdapat juga wakil rakyat yang sanggup bermati-matian mempertahankan parti ibarat ‘lilin membakar dirinya’.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman daripada PN yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, pada Isnin.

Suhaili membuat keputusan itu setelah mengambil kira kesemua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik yang berterusan.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid juga membuat keputusan menyokong pimpinan Perdana Menteri.

Wakil rakyat Bersatu itu tegaskan, pendekatan tersebut diambil setelah meneliti rintihan berterusan pengundi selain menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah kenaikan kos sara hidup di kawasannya.

Iskandar Dzulkarnain menegaskan tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti.