Negara masih kekurangan pakar antropologi forensik

Dr Faridah melakukan pemeriksaan ke atas rangka manusia bagi tujuan siasatan. - Foto Bernama
Dr Faridah melakukan pemeriksaan ke atas rangka manusia bagi tujuan siasatan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak seperti kebiasaan, permintaan seorang pegawai polis agar beliau turut terlibat dalam siasatan kes kematian seorang wanita bersama-sama pasukan forensik Belanda, membuatkan Prof Dr Faridah Mohd Nor berasa serba salah.

Manakan tidak, naratif kematian mangsa yang disampaikan menerusi telefon oleh pegawai polis yang juga kenalannya itu, menyentap perasaan pakar antropologi forensik tersebut, membuatkan beliau terdiam.

"Bolehkah saya serahkan kes ini kepada Prof? Ini melibatkan tulang-temulang dan Prof patut ambil kes ini.

"Kes ini juga sangat penting sebab mangsanya adalah rakyat Malaysia," kata Dr Faridah, memetik kata-kata kenalannya, ketika mengimbas satu kes yang diterimanya pada 2016 kepada Bernama.

Kes A Fairos Ahmad Sulaiman, 37, wanita kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu pernah menggemparkan negara pada 2008.

Mayat wanita itu yang dipercayai dibunuh oleh suaminya seorang warga Belanda, disembunyikan di dalam tangki najis yang kemudian disimen di rumah sewa mereka di Ranong, Phuket, Thailand. Rangkanya ditemukan pada penghujung 2008, iaitu setahun selepas mangsa dilaporkan hilang.

Selepas kira-kira sembilan tahun dikebumikan di kampung halaman, pihak berkuasa Belanda meminta bantuan Malaysia untuk menggali semula kubur arwah bagi menjalankan bedah siasat dan mendapatkan bahan bukti untuk melengkapkan siasatan berhubung punca sebenar kematian wanita itu.

Kes tersebut antara yang paling mencabar dan menarik bagi Dr Faridah sepanjang 24 tahun pembabitannya dalam dunia forensik.

Artikel Berkaitan:

Hingga kini beliau telah mengendalikan lebih 5,000 mayat kes jenayah termasuk yang berprofil tinggi.

"Kes (A Fairos) ini mencabar kerana kami tidak jumpa punca kematian walaupun sudah melakukan yang terbaik bagi mensabitkan suspek.

Kes ini masih lagi berjalan di mahkamah Belanda," kata Dr Faridah yang juga Pakar Runding Patologi Forensik dan Antropologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Penglibatan beliau dan pasukannya dalam kes itu mendapat pengiktirafan kerajaan Belanda.

Akan tetapi, selepas lebih dua dekad bergelumang dengan mayat dan tulang-temulang manusia, Dr Faridah mula berasa bimbang selepas melihat ketandusan pelapis dalam bidang itu.

Malah, kata beliau, ketika ini negara hanya mempunyai kira-kira 10 orang pakar antropologi forensik.

Mengapa penting?

Kekurangan pakar antropologi forensik ini menuntut perhatian wajar pihak berwajib kerana berisiko menjejaskan siasatan kes yang melibatkan tinggalan rangka.

Beliau berkata, ini kerana peranan antropologi forensik antara lain ialah mengenal pasti identiti si mati, seperti jantina dan umur, iaitu perkara paling asas sebelum siasatan lanjut dapat dilakukan.

Kepakaran antropologi forensik juga dituntut bagi mengenal pasti punca dan jangka masa kematian.

Dr Faridah ketika ditemu ramah Bernama menyatakan pemeriksaan rangka tulang manusia boleh merungkai pelbagai kes jenayah. - Foto Bernama
Dr Faridah ketika ditemu ramah Bernama menyatakan pemeriksaan rangka tulang manusia boleh merungkai pelbagai kes jenayah. - Foto Bernama

Jantina misalnya, dapat disahkan melalui pemeriksaan tulang tengkorak yang memberikan ketepatan 92 peratus dan tulang pinggul dengan ketepatan 95 peratus, tambah beliau.

"Bidang forensik ini boleh terbahagi kepada pelbagai cabang, misalnya entomologi forensik yang dapat merungkai waktu kematian melalui pemeriksaan ulat mayat pada mayat berkenaan.

Ini selalunya pada mayat yang masih utuh.

"Bagi tinggalan rangka, hanya kepakaran antropologi forensik sahaja yang boleh mengenal pasti identiti si mati, sama ada lelaki atau wanita, untuk disepadankan dengan siasatan polis.

Ada kaedah lain seperti pengambilan sampel DNA (asid deoksiribonukleik) dan X-ray, namun keputusannya tidak begitu tepat dan komprehensif sepertimana pemeriksaan antropologi forensik, terutama kes yang kompleks seperti kebakaran dan pereputan lanjut tulang," jelas beliau.

Lantaran itu jugalah khidmat pasukan antropologi forensik Dr Faridah sentiasa ditagih oleh pasukan polis bagi membantu siasatan melibatkan rangka dan tulang manusia, seperti kes A Fairos, jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Merujuk kepada kes Sosilawati yang merupakan satu lagi kes rumit yang pernah dikendalikannya, Dr Faridah berkata kepakaran mereka diperlukan bagi mengenal pasti identiti si mati menerusi tulang mangsa yang dibakar dan dibuang ke dalam sungai.

Bercerita lanjut, Dr Faridah yang sudah dua tahun bersara wajib berkata, beliau kini berkhidmat secara kontrak di UKM disebabkan oleh masalah kekurangan pakar sedangkan kes jenayah membabitkan pembunuhan meningkat.

Menurut beliau, khidmatnya masih diperlukan kerana hanya ada dua pakar dalam bidang itu di HCTM bagi mendidik penuntut perubatan.

"Kita memang perlukan lebih ramai pakar antropologi forensik.

Kami yang sudah bersara masih perlu berkhidmat kerana tidak ada pelapis.

"Kes sekarang semakin banyak dan jenayah dilakukan dalam pelbagai bentuk dengan ada yang dibuang dalam selimut tebal toto ke dalam gaung.

Di negara tropika seperti Malaysia ini, adakala mayat boleh mereput dan tinggal rangka hanya dalam tempoh sebulan, dan itulah sebabnya amat penting kita ada pelapis," katanya.

Tidak hanya Malaysia

Isu kekurangan pakar antropologi forensik ini hakikatnya tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi di serata dunia memandangkan tidak banyak institusi pendidikan antarabangsa yang menawarkan kursus itu dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Menurut Dr Faridah, program 'fellowship' yang diikutinya di University Oregon, Amerika Syarikat selepas menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Bradford, United Kingdom, ditamatkan sebaik sahaja beliau selesai mengikuti pengajian pada 2010, disebabkan oleh ketiadaan tenaga pengajar.

Malah katanya, ketiadaan pakar juga menyebabkan dirinya selaku lepasan PhD diberi kepercayaan oleh pensyarah untuk mengajar penuntut peringkat sarjana di universiti itu.

"Saya jadi macam bidan terjun kerana bukan sahaja mengajar pelajar sarjana tetapi juga menjadi pemeriksa mereka dalam penyelidikan.

Sebenarnya, isu kekurangan pakar antropologi forensik ini tidak hanya berlaku di negara kita tetapi di serata dunia, sehingga kami turut menerima pelajar postdoctoral dari Jordan untuk belajar di UKM.

"Pelajar Jordan ini berminat untuk mendalami kepakaran dalam pemeriksaan kerangka tulang dan dia sudah mencari banyak tempat di luar negara namun gagal menyambung pengajian dalam bidang itu. Pelajar ini merayu kepada kami agar menerimanya.

Disebabkan oleh dia serta pelajar lain, saya menangguhkan hasrat untuk berundur sepenuhnya dari bidang ini," jelas beliau.

Kepakaran wanita ini dalam merungkai misteri identiti dan kematian kes jenayah serta bukan jenayah seperti kemalangan, kebakaran, sakit biasa dan lain-lain, tidak hanya didamba oleh pihak berkuasa negara ini, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Justeru tidak menghairankan beliau sentiasa dijemput menjadi penceramah untuk pelajar perubatan, pakar forensik dan polis di Sir John Walsh Research Institute dan Australian and New Zealand Forensic Science Society (ANZFSS), University of Otago di Dunedin dan Institute of Environmental Science and Research (ESR) di Auckland, Wellington dan Christchurch.

Selain itu, beliau turut aktif membimbing pegawai polis di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras dan pegawai undang-undang di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) serta pelajar Fakulti Undang-Undang, UKM.

"Sebenarnya, pelbagai rahsia kematian dapat dirungkai melalui tulang kerana setiap tulang, contohnya tulang belikat, tulang pinggul boleh membuka pintu kepada penyelesaian sesuatu kes jenayah. Menariknya, serpihan tulang yang berusia ribuan tahun juga boleh dilakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti identiti mayat.

"Antara tinggalan rangka paling lama (tua) yang pernah saya periksa adalah berusia kira-kira 8,000 tahun yang dijumpai di Gua Cawan, Lembah Nenggiri, Kelantan pada 2018.

"Kes begini tidak digolongkan dalam bidang forensik antropologi tetapi forensik arkeologi," katanya yang boleh mengenal pasti jantina mangsa menerusi tulang dengan hanya sekali imbas.

Tarikan pelajar antarabangsa

Sehubungan itu, Dr Faridah yang juga Ahli Jawatankuasa National Specialist Register (NSR) melihat ada keperluan untuk negara mewujudkan pusat antropologi forensik bagi menangani masalah kekurangan pakar dalam bidang berkenaan.

Katanya, langkah itu juga adalah pendekatan terbaik bagi mendedahkan pelajar perubatan kepada cabang antropologi forensik yang tidak begitu dikenali berbanding kepakaran forensik lain, walhal keperluannya amat kritikal dalam siasatan berkaitan dengan tinggalan kerangka.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam bidang itu, Dr Faridah berkata, beliau mula menyedari kekurangan pakar antropologi forensik semasa ditugaskan membuat pemeriksaan ke atas rangka penyanyi Along Spoon yang menjadi mangsa bunuh, pada 2000,

Susulan kes itu, beliau nekad mendalami bidang berkenaan dan hingga kini minatnya masih berkobar-kobar.

"Manusia normal mempunyai 206 tulang.

"Banyak lagi yang belum kita lakukan untuk meneroka pelbagai jenis tulang manusia," katanya yang mempunyai kepakaran dalam pemeriksaan forensik ke atas tulang belikat, pinggul, rahang, tulang panjang lengan dan kaki serta tengkorak.

"... dan kerana itulah saya melihat kewujudan pusat antropologi forensik merupakan langkah terbaik untuk melatih dan melahirkan lebih ramai lagi pakar dalam bidang tersebut.

"Memandangkan kita berdepan kekurangan pakar untuk mengajar, pusat ini boleh mengikuti konsep program yang dilakukan oleh University Bradford dengan mengambil tenaga pengajar bukan sahaja tempatan tetapi juga dari luar universiti," katanya yang yakin pusat itu mampu memenuhi keperluan negara.

Tambah beliau, pusat itu juga tidak perlu sehebat pusat di Amerika Syarikat yang mempunyai "ladang mayat" bagi membolehkan penuntut mempelajari proses pereputan mayat.

Beliau juga berkata, sudah tiba masanya negara turut memberi tumpuan kepada 'pelancongan pembelajaran perubatan' sepertimana pelancongan kesihatan, memandangkan kepakaran tempatan turut diburu oleh pelajar perubatan luar negara.

"Kepakaran yang kita miliki ini boleh dijadikan sebagai tarikan untuk mereka mempelajari antropologi forensik di sini.

Misalnya, saya pernah ditanya oleh beberapa pihak universiti di Thailand untuk menghantar pelajar perubatan mereka bagi membuat latihan antropologi forensik dengan saya di sini.

"Malah, University of Otago, New Zealand juga berminat untuk menghantar pelajar biologi mereka bagi mendapat latihan dan pendedahan tentang bidang tersebut dengan kita di sini.

Kerana itu saya berasakan ada keperluan bagi pusat antropologi forensik tersebut diwujudkan," katanya.

Ketika ditanya sampai bila beliau akan terus berkhidmat, Dr Faridah berkata beliau tidak menetapkan jangka masa untuk bersara sepenuhnya kerana yang penting ketika ini ialah melatih dan meningkatkan jumlah pelapis.

Bagi menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang itu, beliau kini menumpukan perhatian dalam penghasilan buku siasatan antropologi berdasarkan kes tempatan memandangkan bahan rujukan sedia ada lebih mengetengahkan kes di luar negara.

Hingga kini, Dr Faridah telah menghasilkan lebih 15 buah buku, sama ada penulisan sendiri atau bekerjasama dengan rakan penulis lain, termasuk dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang bertajuk 'Fikh Forensik' pada 2017.

"Memang letih tetapi semuanya akan hilang apabila kita dapat berkongsi pengetahuan dengan pelajar dan juga membantu keluarga mangsa serta polis merungkai jenayah di sebalik kes kematian," katanya. - Bernama