Teruskan doa, solat hajat demi keselamatan Gaza

Para peserta yang menyertai Himpunan Solidariti Palestin di pekarangan Masjid Ismaili Bandar Tumpat pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN
Para peserta yang menyertai Himpunan Solidariti Palestin di pekarangan Masjid Ismaili Bandar Tumpat pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

TUMPAT - Komuniti Madani Tumpat menyarankan seluruh ahlinya untuk memperbanyakkan bacaan Qunut Nazilah dan solat hajat sebagai langkah membantu saudara muslim di Palestin daripada terus dizalimi rejim zionis Israel.

Pengerusi Komuniti Madani Tumpat, Ahmad Shafik Ab Rahman berkata, menjadi tanggungjawab komuniti dan rakyat sejagat untuk terus mendoakan mangsa-mangsa peperangan itu selain melaksanakan kutipan derma bagi membantu mereka.

Ujar beliau, politik dan perbezaan perlu diketepikan pada waktu ini bagi menunjukkan kebersamaan dan dukungan ke atas Palestin sehingga gencatan senjata dilaksanakan di Semenanjung Gaza.

“Jihad menentang keganasan zionis Israel di Palestin bukan sahaja boleh diadakan melalui demonstrasi aman tetapi juga melalui solat hajat dan membaca Qunut Nazilah.

Ahmad Shafik - FOTO SINAR HARIAN
Ahmad Shafik - FOTO SINAR HARIAN

“Kedua-duanya boleh dilakukan sendiri di rumah dan kerjasama dengan masjid-masjid secara berjemaah,” katanya kepada pemberita selepas Himpunan Solidariti Palestin di pekarangan Masjid Ismaili Bandar Tumpat di sini pada Jumaat.

Lebih 500 menyertai himpunan itu mewakili 12 Komuniti Madani di Tumpat dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Al-Busyraa, Yayasan Dato Che Abdullah Al-Lambori, Skuad Peduli Rakyat Tumpat dan Cakna Harapan Tumpat turut bersama Komuniti Madani Tumpat sebagai solidariti kepada perjuangan Palestin.

Menurut Ahmad Shafik, komuniti itu turut melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin yang akan digerakkan selama seminggu di lokasi-lokasi tumpuan termasuk pasar-pasar awam di sekitar daerah itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seramai 144 ahli akan bergerak ke kawasan-kawasan itu untuk mengumpul derma yang akan disalurkan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diselia oleh Kementerian Luar Negeri.

“Kami mengharapkan orang ramai terus menderma walaupun sekecil-kecil 10 sen untuk membantu mangsa kekejaman di Palestin,” ujar beliau.