Operasi beras putih tempatan dilanjut hingga 17 November

Foong Hin (tiga dari kanan) ketika dalam mesyuarat mingguan Taskforce OP BPT.
Foong Hin (tiga dari kanan) ketika dalam mesyuarat mingguan Taskforce OP BPT.
A
A
A

SHAH ALAM - ‘Task force’ Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (OP BPT) akan dilanjutkan sehingga 17 November ini bagi memperkasakan penguatkuasaan serta mempergiatkan operasi terutama di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Chan Foong Hin berkata, keputusan yang diambil menerusi mesyuarat mingguan Taskforce OP BPT itu berikutan isu penyeludupan beras putih import (BPI) bersubsidi ke negara jiran.

“Melalui pelanjutan tempoh ini, penguatkuasaan secara bersepadu akan terus dijalankan di pintu masuk sempadan Sabah dan Sarawak serta diperketatkan lagi melalui taskforce ini bagi mengelakkan ketirisan subsidi dan pembaziran wang negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, ujar beliau, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menukar kampit, mencampurkan beras tempatan dengan import, menyeludup keluar BPI atau menyembunyikan bekalan BPT.

“Sehingga 1 November 2023, pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menjalankan 196 pemeriksaan premis melibatkan 71 kilang, 113 pemborong dan 12 peruncit di Semenanjung Malaysia.

“Sehingga kini, terdapat tiga kes sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan sembilan kes di bawah KPDN.

“Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkenaan isu bekalan beras, boleh menyalurkannya melalui hotline aduan 03-8870 2393/2207,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: