Penipuan pelaburan Yomaex, kerugian RM50.6 juta

Ramli (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket penipuan pelaburan Yomaex.
Ramli (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket penipuan pelaburan Yomaex.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 76 kertas siasatan berhubung skim penipuan pelaburan dikenali sebagai 'Yomaex' yang mengakibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM50.6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan siasatan dijalankan, skim tersebut menawarkan pelaburan berasaskan mata wang kripto dengan keuntungan tinggi dalam masa singkat.

Beliau berkata, setiap pelabur yang menyertai skim itu diberikan akses untuk memantau urus niaga pelaburan.

Kata beliau, menerusi sistem itu, pelabur dapat melihat akaun masing-masing menjana keuntungan, tetapi mereka tidak dibenarkan membuat sebarang pengeluaran.

"Siasatan setakat ini telah mengesan sejumlah 63 akaun bank yang digunakan oleh sindiket penipuan Yomaex ini.

"Sebanyak 32 buah syarikat dan 19 perniagaan telah didaftarkan pihak sindiket semata-mata untuk tujuan penipuan pengoperasian pelaburan ini," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Menurutnya, menerusi operasi dilakukan di seluruh negara bermula 29 hingga 31 Oktober, pihaknya telah menahan 40 individu.

Beliau berkata, tangkapan melibatkan 31 lelaki dan sembilan wanita yang berusia 20 hingga 55 tahun.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sebanyak 38 individu ditahan itu bertindak sebagai pemilik perniagaan, pengarah syarikat dan setiausaha syarikat-syarikat yang digunakan untuk penipuan pelaburan tersebut.

"Baki dua orang lagi yang ditahan itu adalah pegawai bank dan ejen pencari akaun keldai," ujarnya.

Ramli berkata, antara barangan kes yang dirampas adalah 19 buah telefon bimbit, set dokumen berkaitan (17), fail setiausaha syarikat (3), kad debit (2), satu unit token keselamatan transaksi perbankan dalam talian serta satu unit komputer riba.

Beliau berkata, mangsa penipuan berusia 22 hingga 81 tahun dan terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya, namun majoritinya adalah pesara dan ahli perniagaan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.