'Solat berjemaah rutin arwah ayah dan mak sejak bersara'

Rosni bersama arwah suaminya ketika meragam gambar di Masjid Kariah Terusan Seberang,Juasseh.
Rosni bersama arwah suaminya ketika meragam gambar di Masjid Kariah Terusan Seberang,Juasseh.
A
A
A

KUALA PILAH - Anak kepada lelaki warga emas yang maut dalam nahas jalan raya pada Khamis memaklumkan bapanya itu menjadikan solat berjemaah di masjid sebagai rutin selepas bersara lebih tiga tahun lalu.

Anak kedua daripada empat beradik itu, Fatin Hazirah Saleh, 32, berkata, bapanya, Allahyarham Saleh Ali, 64, akan ke Masjid Kariah Terusan Seberang, Juasseh di sini bersama ibunya Rosni Johari, 60, setiap kali solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

"Saya dah sebulan berada di rumah kerana cuti sakit selepas pembedahan membuang tiroid. Semalam (Khamis) mereka pergi ke masjid seperti biasa dan saya menghantar mereka sehingga ke muka pintu rumah.

"Kemudian saya dimaklumkan mereka terlibat kemalangan, ayah dan mak dihantar ke hospital.

Fatin menunjukkan menunjukkan gambar Allahyarham bapanya.
Fatin menunjukkan menunjukkan gambar Allahyarham bapanya.

"Bagaimanapun keadaan ayah kritikal semasa menerima rawatan dan mak pula mengalami kecederaan di bahagian muka. Ayah disahkan meninggal dunia pada awal pagi tadi (Jumaat)," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya pada Jumaat.

Katanya jenazah bapanya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Terusan Sebarang, Juasseh selepas solat Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami maut, telekung isteri dipercayai termasuk di tayar motosikal

"Ayah dan mak memang sentiasa bersama ke mana-mana lebih-lebih lagi selepas masing-masing sudah berpencen. Mak dahulu cikgu agama (ustazah) manakala ayah pesara Felda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu katanya, dia dan adik ketiganya bakal melangsungkan perkahwinan pada hujung Disember ini dan kelengkapan telah disiapkan oleh bapanya walaupun tempoh majlis berbaki lebih sebulan lagi.

"Ayah dah siap kemas laman rumah untuk persiapan khemah malah arwah tebang pokok mata kucing sendiri. Dia (arwah) kata memang nak siapkan semua," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan selepas telekung isteri mangsa dipercayai termasuk di bahagian tayar.

Pasangan berusia 64 dan 60 tahun itu dalam perjalanan ke masjid bagi menunaikan solat Maghrib sebelum terlibat nahas dan dibawa ke Hospital Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut,

Bagaimanapun pada jam 3.53 pagi Jumaat, pihak polis dimaklumkan oleh Unit Forensik HTAN Kuala Pilah, penunggang motosikal itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah.