Warga emas maut, empat parah MPV rempuh lori

Anggota bomba dari BBP Jerantut melakukan kerja-kerja pemadaman MPV yang terbakar selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Jerantut -Maran dekat Sungai Salan di sini pada Isnin.
Anggota bomba dari BBP Jerantut melakukan kerja-kerja pemadaman MPV yang terbakar selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Jerantut -Maran dekat Sungai Salan di sini pada Isnin.
A
A
A

JERANTUT - Seorang lelaki warga emas maut manakala tiga wanita dan seorang bayi lelaki parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori sebelum terbakar di Kilometer 12, Jalan Jerantut - Maran kawasan Sungai Salan, di sini pada Isnin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 83 tahun yang juga penumpang hadapan beralamat dari Felda Kota Gelanggi 3 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, wanita berusia 25 tahun yang juga pemandu MPV jenis Proton Exora bersama tiga penumpang lain berusia lima bulan hingga 48 tahun, parah.

Bagaimanapun, menurutnya, pemandu lori, lelaki berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika pemandu MPV bersama empat penumpangnya dalam perjalanan dari arah Jerantut menghala ke Kota Gelanggi 1 di sini.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapan namun gagal sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi.

No Image Caption

Mazlan berkata, akibat perlanggaran itu, MPV terbabit terbakar namun semua mangsa sempat dikeluarkan dengan bantuan orang awam.

"Salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat.

"Semua mangsa yang parah dihantar untuk menerima rawatan di unit kecemasan (zon merah) hospital sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut ke lokasi untuk bantuan menyelamat selepas menerima maklumat.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati MPV terlibat sedang terbakar manakala pemandu dan penumpang telah dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba.

"Kerja-kerja pemadaman segera dilakukan bagaimanapun kenderaan tersebut gagal diselamatkan apabila musnah sepenuhnya akibat kebakaran itu," katanya.