Pencapaian Amir Sisi diakui KPM

Penyanyi cilik Orang Asli, Amir Sisi dinobatkan sebagai juara bagi program realiti televisyen The Chosen One musim pertama.
Penyanyi cilik Orang Asli, Amir Sisi dinobatkan sebagai juara bagi program realiti televisyen The Chosen One musim pertama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pencapaian luar biasa penyanyi cilik Orang Asli, Amir Sisi di dalam bidang itu diiktiraf dan diakui secara tidak langsung oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, kemenangan Amir, 12, dalam program realiti The Chosen One itu membuktikan bahawa bakat sebenar seorang murid boleh dicungkil sekiranya mendapat bimbingan yang betul.

"Amir ini menggambarkan sudah jadi ikon KPM secara automatik," katanya ketika ditemui selepas program Bicara Inspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di sini, pada Jumaat.

Datuk Pkharuddin Ghazali. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Datuk Pkharuddin Ghazali. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

Ujar beliau, kebaikan dan pencapaian yang ditonjol oleh Amir boleh menjadi contoh kepada ramai murid.

"Biar lebih banyak contoh yang lahir dalam sistem pendidikan supaya ia jadi pembakar semangat kepada kumpulan pelajar yang lebih ramai.

"Bayangkan jika setiap 10,000 sekolah berjaya melahirkan satu ikon, maka ia boleh menjadi pembakar semangat kepada lebih 5 juta murid di seluruh negara," katanya.

Pkharuddin berkata, beliau yakin Amir akan berada sebaris dan sepentas dengan artis terkenal suatu hari nanti.

Artikel Berkaitan:

"Dia berjaya menonjolkan potensinya yang sebenar hasil bimbingan Ustaz Amirul Fikri dan ustaz itu yang banyak memberi keyakinan sehingga muncul juara dalam pertandingan itu," katanya.

Sebelum ini, Amir Sisi dan jurulatihnya, Putera Muhammad dinobatkan sebagai juara bagi program realiti televisyen The Chosen One musim pertama.

Amir Sisi, Orang Asli suku kaum Temiar yang berasal dari Pos Kemar, Gerik, Perak, telah menewaskan tiga lagi peserta lain yang bertanding di peringkat akhir iaitu Khalyn, 17; Erika Foo, 17; dan Raja Dayana Umayma, 13.

Dengan kemenangan itu, Amir telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000, sebuah trofi berserta sebuah lagu single daripada Rocketfuel Entertainment.