71 kes pendaftaran lewat anak Orang Asli berjaya diselesaikan

Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar, Ajah Adik, 48, melihat kad pengenalan yang baharu sahaja diterima daripada wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sempena Program Outreach dan Kembara Mesra Rakyat di Pos Belatim, pada Isnin. - Foto Bernama
Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar, Ajah Adik, 48, melihat kad pengenalan yang baharu sahaja diterima daripada wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sempena Program Outreach dan Kembara Mesra Rakyat di Pos Belatim, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan berjaya menyelesaikan 71 kes pendaftaran lewat membabitkan masyarakat Orang Asli di negeri itu, setakat ini.

Timbalan Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, daripada jumlah itu, 53 kes melibatkan pendaftaran baharu kad pengenalan diri (MyKad), manakala 18 kes pula kes lewat mendaftar sijil lahir.

Beliau berkata, kes terbabit, dapat diselesaikan menerusi beberapa program yang dilaksanakan seperti Program Outreach dan Kembara Mesra Rakyat, melibatkan kawasan penempatan Orang Asli.

"Kita turut bersama beberapa agensi lain dalam program yang diadakan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Menerusi program yang diadakan juga, pihak JKM berjaya mengesan beberapa asnaf Orang Asli, selain kes permohonan kad Orang Kurang Upaya dalam kalangan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bihai Lama, di sini pada Isnin.

Terdahulu, Roslina menyampaikan sumbangan 1,000 helai pakaian kepada masyarakat Orang Asli, sebagai persediaan menyambut sambutan perayaan Aidiladha pada Khamis ini. - Bernama