Amir Sisi juara The Chosen One, bawa pulang hadiah RM30,000

Amir, 12, bersama Khalyn, 17; Erika Foo, 17; dan Raja Dayana Umayma, 13.
Amir, 12, bersama Khalyn, 17; Erika Foo, 17; dan Raja Dayana Umayma, 13.
A
A
A

PENYANYI cilik Amir Sisi dan jurulatihnya, Putera Muhammad menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai juara bagi program realiti televisyen The Chosen One yang disiarkan menerusi saluran saluran Astro Ceria (Saluran 611) dan Astro Prima (Saluran 105) pada Rabu.

Bukan itu sahaja, Amir berjaya melakar sejarah apabila menjadi anak Orang Asli pertama yang menjuarai pertandingan nyanyian televisyen kanak-kanak di Malaysia.

Dengan kemenangan ini, Amir telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000, sebuah trofi berserta sebuah lagu single daripada Rocketfuel Entertainment. Manakala Putera Muhammad selaku jurulatih terbaik membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.

Amir Sisi, Orang Asli suku kaum Temiar berusia 12 tahun berasal dari Pos Kemar, Gerik, Perak, telah menewaskan tiga lagi peserta lain yang bertanding di peringkat akhir iaitu Khalyn, 17; Erika Foo, 17; dan Raja Dayana Umayma, 13.

Mereka merupakan anak-anak didik kepada Hazama, Kmy Kmo dan Luca Sicta serta Shiha Zikir.

Naib juara Khalyn membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 manakala tempat ketiga disandang oleh Dayana dan tempat keempat jatuh kepada Erika.

Mereka membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sejumlah RM10,000 dan RM5,000.

Dayana pula merangkul anugerah persembahan terbaik.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, keunikan suara dan personaliti Amir yang bersahaja telah menyentuh hati ramai rakyat Malaysia sehingga menjadi viral terutamanya di laman sesawang TikTok dengan jumlah tontonan sebanyak 150 juta.

Sorotan video persembahan Amir juga telah menarik minat penonton dari luar negara terutamanya dari Indonesia dan ramai pempengaruh Indonesia telah memberi pujian akan bakat semula jadi Amir.

Sementara itu, Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila rancangan The Chosen One dapat melahirkan bintang-bintang baharu seperti Amir Sisi, Khalyn, Erika Foo dan Raja Dayana yang bakal mewarnai industri seni negara.

"Keikhlasan dan aura Amir telah berjaya menambat hati juri-juri dan mencetuskan fenomena di kalangan penonton, bukan sahaja di Malaysia malah juga di negara jiran.

"Kami mendoakan kesemua peserta The Chosen One akan terus bersinar dan berharap agar program ini menjadi titik permulaan kepada kejayaan mereka untuk masa akan datang,” ujarnya.

The Chosen One merupakan sebuah program nyanyian realiti yang mengandingkan bakat-bakat baharu dengan penyanyi-penyanyi popular tanah air yang bakal menggalas tugas sebagai jurulatih peserta-peserta terpilih.

Seramai 16 peserta bersaing untuk membentuk pasangan dengan selebriti tersebut. Hanya lapan daripada mereka yang terpilih bertanding selama enam minggu bersama pasangan selebriti mereka untuk merebut gelaran sebagai The Chosen One.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!