Penjawat awam Kelantan dicadang sertai program tasawur Islam

Mohd Nassuruddin (dua dari kiri) menyampaikan AIGA kepada Mohd Zaki (dua dari kanan) pada Konvensyen Integriti negeri Kelantan 2023 di Kota Bharu.
Mohd Nassuruddin (dua dari kiri) menyampaikan AIGA kepada Mohd Zaki (dua dari kanan) pada Konvensyen Integriti negeri Kelantan 2023 di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mencadangkan kesemua lebih 10,000 kakitangannya untuk menyertai program pengajian tasawur Islam bagi mempertahankan budaya kerja berintegriti tanpa rasuah dan salah laku.

Mereka diimpikan bukan sahaja cekap dalam pekerjaan semata-mata bahkan mempunyai ilmu keagamaan yang tinggi.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya sudah pun menjalinkan kerjasama dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bagi menjalankan program tasawur Islam dalam kalangan kakitangannya.

Kata beliau, kerjasama itu perlu diperkasakan dan dipastikan setiap pegawai yang menyertai program berjaya memperoleh Diploma Tasawur Islam.

“Saya berharap pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dapat menilai untuk membuka program tasawur Islam ini kepada semua pegawai-pegawai sama ada bertaraf lantikan tetap atau lantikan kontrak.

“Saya yakin melalui pendekatan ini hasrat kerajaan negeri dalam mewujudkan anggota perkhidmatan awam yang menghayati budaya kerja cemerlang dan berasaskan penghayatan Islam dapat dicapai,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Integriti negeri Kelantan 2023 di Kota Darulnaim di sini, pada Khamis.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Intergriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) kepada Bahagian Intergriti dan Takbir Urus Pejabat SUK Kelantan yang diwakili oleh Pengarahnya, Mohd Zaki Yusoff.

Mohd Nassuruddin mengulas lanjut, kerajaan itu juga bertekad memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketua-ketua jabatan negeri itu perlu memastikan semua kakitangan melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan betul.

“Jadikan frasa ‘saya yang menjalankan amanah’ yang digunakan sejak 20 September 2018 sebagai amalan dalam melaksanakan perkhidmatan.

“Bersama-sama menjaga nama baik kerajaan ini dan slogan kita iaitu Membangun bersama Islam,” ujar beliau.

Tambah Nassuruddin, kerajaan Kelantan juga amat menghargai kerjasama daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang sentiasa membantu kerajaan negeri menerusi pemantauan dan kempen mengenai peringatan kesan serta bahaya rasuah.