Pembinaan saluran paip gas ke Proton City berjalan lancar

Ahmad Hashimi (tiga dari kanan) menyempurnakan inisiatif menanam 150 anak pokok hutan dan buah-buahan serta menjalankan aktiviti pembersihan di sepanjang pesisir sungai.
Ahmad Hashimi (tiga dari kanan) menyempurnakan inisiatif menanam 150 anak pokok hutan dan buah-buahan serta menjalankan aktiviti pembersihan di sepanjang pesisir sungai.
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Kerja pembinaan saluran paip gas baharu oleh Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) sepanjang 60 kilometer dari Bidor ke Proton City dekat sini berjalan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, projek membabitkan kos hampir RM100 juta yang dimulakan Mac lalu itu telah melepasi fasa pertama pembangunan dengan capaian 20 peratus siap.

Menurutnya, dengan perkembangan positif itu, pihaknya optimis, pembinaan jaringan paip gas asli tersebut dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun yang diperlukan iaitu pada 2025.

Ahmad Hashimi
Ahmad Hashimi

"Penganugerahkan kontrak telah dibuat awal tahun ini dan kita mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak berautoriti termasuk agensi di peringkat daerah yang terlibat di sepanjang laluan jaringan gas ini.

"Pembinaannya sedang rancak dijalankan dan kalau kita lihat di sebahagian tempat-tempat tertentu, boleh nampak laluan-laluan paip ini telah ada," katanya ketika ditemui dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Gas Malaysia bersama masyarakat setempat di Kampung Pos Bersih, Ulu Slim dekat Behrang di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin dan Orang Besar Jajahan Mualim, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad.

Ahmad Hashimi berkata, projek saluran paip itu berupaya menampung permintaan gas asli bagi kegunaan industri di sepanjang kawasan jaringan termasuk syarikat automatif Proton yang menjalankan operasinya di sini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkembangan itu sekaligus akan menyokong pertumbuhan industri baru yang dapat meningkatkan ekonomi domestik dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Sebelum ini, Gas Malaysia juga terlibat dalam pembinaan jaringan gas asli di beberapa lokasi di Perak antaranya di Lumut, Taiping dan Lembah Kinta.

"Kali ini, istimewanya apabila melibatkan sebuah kawasan berimpak tinggi yang mana kita tahu kerajaan negeri mempunyai fokus untuk menjadikannya sebagai Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV)," katanya.

Sempena program CSR itu, Gas Malaysia menyerahkan 40 bakul rezeki berupa barangan keperluan makanan kepada kumpulan sasar komuniti orang asli dan memberikan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM10,000 bagi membantu menyiapkan pembinaan surau di Kampung Bangkong, Pos Bersih.

Syarikat itu dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Perak turut mengambil inisiatif menanam 150 pokok hutan dan buah-buahan serta menjalankan aktiviti pembersihan di sepanjang pesisir sungai.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek pembinaan jaringan paip gas asli dari Kampung Kuala Bikam, Bidor ke Proton City, Tanjung Malim itu akan memberi pelbagai manfaat kepada sekurang-kurangnya lapan kawasan industri di sekitarnya selain berpotensi menarik pelaburan baharu.

Projek itu juga akan memperkukuhkan jaringan paip gas asli di negeri Perak yang kini sudah mempunyai lima jaringan gas asli iaitu di Parit Buntar sejauh 8 kilometer (km), Taiping (46 km), Sitiawan (38 km), Teluk Intan (27 km) dan Lembah Kinta (140 km).