PRN: Team Pantau JSJ Selangor diaktif sekat kongsi gelap sokong NGO

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor mengaktifkan Team Pantau melibatkan keanggotaan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bagi memantau kumpulan tertentu sepanjang musim pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini tiada aduan atau sebarang aktiviti berkaitan kumpulan kongsi gelap yang dipercayai menyokong badan bukan kerajaan (NGO) dalam kempen PRN diterima polis Selangor.

Menurutnya, Team Pantau JSJ Selangor telah diaktifkan untuk mengesan sebarang aktiviti ini.

"Polis Selangor telah mula pantau, mengikuti pergerakan dan tindakan kumpulan-kumpulan serta individu tertentu yang dikenal pasti supaya ketenteraman awam tidak terancam sepanjang musim PRN.

"Bilik Gerakan Polis Selangor sempena PRN juga telah dibuka sejak Jumaat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Hussein berkata, beliau mengingatkan semua pihak supaya mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang cuba menggugat proses pilihan raya atau cuba menimbulkan ketidaktenteraman di Selangor.

"Peringatan juga diberi supaya perkara sensitif seperti isu 3R (kaum, agama dan royalti) tidak dimainkan terutama ketika PRN," ujarnya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Polis Pulau Pinang telah mengenal pasti kumpulan kongsi gelap yang dipercayai menyokong badan bukan kerajaan (NGO) dalam kempen PRN di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua senarai dan kegiatan kongsi gelap terlibat, kini berada di dalam pemantauan polis.

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis Pulau Pinang kenal pasti kongsi gelap sokong NGO dalam PRN