Ipoh berpotensi besar terajui industri tandas

Datuk Rumaizi Baharin
Datuk Rumaizi Baharin
A
A
A

IPOH - Ipoh berpotensi besar menjadi bandar raya utama yang menerajui industri pembuatan tandas di Malaysia, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Ujarnya, walaupun ada segelintir pihak yang sinikal terhadap perkara tersebut, industri tandas boleh menarik ramai pelabur ke Ipoh khususnya dan Perak amnya.

Ia memandangkan banyak sumber mineral yang terdapat di daerah Kinta, yang boleh dieskport ke negara Asia Tenggara dan Selatan, memandangkan permintaan yang tinggi.

"Mungkin perkara ini menjadi bahan ketawa atau ramai yang ketawa bila bercakap tentang industri tandas, namun ia boleh menjadi sumber pendapatan utama negeri ini.

"Barang untuk bina tandas, semuanya merupakan industri, sebab itu untuk nilai pengeluarannya hampir mencecah RM80 hingga RM90 bilion.

"Kita boleh eksport ke Indonesia, Thailand sebabkan mineral itu banyak di sini sebenarnya. Kalau di Thailand misalnya, mungkin agak sukar untuk dapatkan mineral silika pasir lombong," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Oktober, di sini pada Selasa.

Justeru katanya, stigma orang ramai terhadap potensi industri itu perlu diubah, selari dengan peredaran zaman.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi kalau di Perak, industri tandas kita tidak besar dan kurang. Mungkin kita fikir ia benda kecil tetapi sebaliknya.

"Kalau di negara Asia Selatan, India misalnya, rakyatnya lebih ramai daripada China dan sedang bergerak ke depan.

"Kalau dulu tandas mereka agak tidak teratur, tetapi kini mereka giat bina tandas baharu. Ia merupakan keperluan.

"Jadi bila kita boleh rebut peluang itu untuk eksport barangan buat tandas ke sana. Cuba bayangkan berapa banyak pendapatan kita boleh raih," katanya lagi. - Awani