Naik taraf Klang bandar raya dipersembah kepada Sultan Selangor

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan dan keputusan menaik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) ke status bandar raya akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk proses pemasyhuran.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan mengiktiraf pihak berkuasa tempatan (PBT) di Klang itu sebagai bakal bandar raya keempat di Selangor.

Menurut beliau, pengumuman Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming itu disambut baik untuk menjadikan MPK sebagai bandar raya selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Sehubungan itu, katanya, perkembangan itu mengukuhkan hasrat kerajaan negeri Selangor untuk mewujudkan pentadbiran 'Greater Klang Valley' (pasukan bertindak khas) yang melibatkan keempat-empat majlis bandaraya itu agar menjadi model metropolitan di Malaysia serta Asia Tenggara.

"Bandar Diraja Klang yang kaya dengan sejarah dapat terus dibangunkan sebagai bandar mampan serta mempunyai peluang ekonomi yang amat tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Amirudin memberitahu, dengan kelahiran Greater Klang Valley itu, pentadbiran keempat-empat PBT ini dapat dikukuhkan dan diselaraskan melalui penggunaan satu sistem untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan bagi memudahkan urusan kerajaan sebagai pembekal perkhidmatan dengan rakyat sebagai pengguna khusus bagi penduduk dari Petaling Jaya ke Klang.

"Greater Klang Valley juga dapat menjadi testbed untuk perkhidmatan berasaskan teknologi internet kelajuan tinggi khususnya 5G ke arah menawarkan perkhidmatan kerajaan sepenuhnya digital di lokaliti-lokaliti ini," jelas beliau.

Menurut Amirudin, penjelmaan Greater Klang Valley akan menjadi antara fokus utama pentadbiran kerajaan negeri Selangor dalam penggal yang akan datang sekiranya mendapat mandat baharu daripada rakyat.

"Perancangan rapi sebegini adalah satu lagi petunjuk bahawa pentadbiran kerajaan negeri tidak leka dan sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki proses dan tahap perkhidmatan untuk memastikan Selangor menjadi negeri yang berdaya huni dan adil agar tiada sesiapa ditinggalkan," tambah beliau.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, kerajaan Persekutuan bersetuju cadangan naik taraf MPK kepada status bandar raya.

Kor Ming berkata, cadangan berkenaan dipersetujui sebulat suara oleh Jemaah Menteri yang bermesyuarat, pada Selasa.