PM gesa lihat konflik Palestin-Israel dari segi sejarah, kemanusiaan

Anwar ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
Anwar ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh rakyat Malaysia agar melihat isu konflik Palestin-Israel dari segi sejarah dan kemanusiaan tanpa berbeza kefahaman berkaitan erti kemerdekaan.

Menurut beliau, ia berikutan terdapat pihak-pihak tertentu yang berpandangan bahawa pendirian negara terlampau tegas dan bertentangan dengan sikap berkecuali.

“Ya, Malaysia mendukung prinsip berkecuali tetapi tidak berkecuali dalam soal kezaliman atau apabila ribuan kanak-kanak Palestin dibunuh dan dibom.

“Malaysia merdeka, menolak penjajahan Inggeris dan kita bersama menentang perbuatan tersebut. Mengapa kita agak berlembut bila ada penjajahan Israel ke atas Palestin?

“Oleh itu, saya sekali lagi menggesa rakyat Malaysia jangan mengizinkan isu ini untuk memecah-belahkan dan memperkotak-katikkan (sesama bangsa),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu, Anwar berkata, penindasan ke atas Palestin itu merupakan isu kemanusiaan serta dekat dengan umat Islam.

Ulasnya, negara-negara luar seperti Ireland, Brazil, Rusia dan China juga mengambil sikap membantah kekejaman Israel atas prinsip kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap kita ambil kesempatan ini untuk mendedahkan maklumat kepada rakyat. Sebab itu, saya menyokong gesaan Menteri Pendidikan supaya digalakkan pelajar-pelajar, bukan dipaksa untuk mengikuti perkembangan yang berlaku.

“Tentunya kita ada garis panduan supaya jangan kita seolah-olah menggalakkan sikap keganasan dan kebencian kepada rakan-rakan sesama mereka, tetapi (terapkan) pencerahan, fahaman tentang apa yang berlaku.

“Apa erti kezaliman, penindasan dan ungkapan maksud perampasan,” jelasnya.