‘Hati-hati beri gambaran perjuangan Palestin’ - Takiyuddin

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kumpulan 12 wakil rakyat PKR yang membantah program Minggu Solidariti Palestin diminta berhati-hati dalam isu tersebut agar tidak dilihat cuba memberi gambaran salah tentang perjuangan rakyat Palestin.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia juga mengelak kumpulan itu dilihat mensabotaj secara halus usaha baik Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan pelajar kepada konflik yang berlaku di Gaza.

Menurutnya, penggunaan terma seperti dendam, kebencian dan keganasan sebagai asas kebimbangan bukan sahaja boleh disalah anggap, malah seperti melanjutkan lagi naratif serta prasangka media Barat yang menyokong rejim Israel apabila merujuk kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Pas bersetuju bahawa pengisian program yang berlebih-lebihan di beberapa sekolah seperti dilaporkan sebelum ini harus dihindari, namun ia bukanlah isu pokok atau terlalu penting untuk dijadikan hujah bagi membatalkan atau menimbangkannya semula.

“KPM perlu mengambil langkah ke depan dengan menyediakan garis panduan lebih terperinci kepada sekolah dan institusi pendidikan berhubung pengisian program ini.

“Elemen seperti keganasan tidak harus dibawa masuk atau disuburkan dalam kalangan pelajar dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Pas pada Isnin.

Pada 28 Oktober lalu, seramai 12 ahli Parlimen termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menggesa KPM mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam.

Antara ahli Parlimen yang menyuarakan perihal tersebut ialah Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.

Artikel Berkaitan:

Manakala senarai ADUN yang terlibat termasuk ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng; ADUN Rawang, Chua Wei Kiat; ADUN Semambu, Chan Chun Kuang ; ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi; ADUN Chuah, Yew Boon Lye; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Kajang, David Cheong Kian Yong; ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern dan ADUN Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas menyokong penuh usaha yang dilakukan pelbagai pihak dalam membela hak kemanusiaan sama ada di Palestin, Myanmar atau mana-mana negara.

Ujarnya, mereka akan terus meneladani perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam teras kepimpinan terutama dalam menangani isu keadilan, keamanan, hak dan kehormatan.

“Kami percaya bahawa kemerdekaan, kebebasan dan kehidupan bermaruah adalah hak mutlak yang dianugerahi Tuhan kepada semua makhluk tanpa mengira warna kulit, kepercayaan agama, lokaliti mahupun status ekonomi serta sosial,” katanya.