Hentikan polemik program Minggu Solidariti Palestin - ABIM

Zairudin Hashim
Zairudin Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa polemik mengenai program Minggu Solidariti Palestin yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sekolah-sekolah bermula Ahad hingga Jumaat ini dihentikan serta-merta.

Naib Presidennya, Zairudin Hashim berkata, panduan terperinci berkenaan prosedur pengelolaan program tersebut dijelaskan kementerian itu dalam pekeliling yang dikeluarkan pada 21 Oktober lalu.

Malah katanya, minggu solidariti itu juga sebahagian daripada pendidikan kewarganegaraan global yang telah dimasukkan dalam kurikulum kebangsaan melalui Elemen Merentas Kurikulum (EMK).

"ABIM menilai bahawa panduan yang disediakan oleh KPM melalui pekeliling tersebut adalah penting untuk memastikan bahawa nilai-nilai kemanusiaan yang universal, perpaduan, keharmonian dan karamah insaniah diutamakan dalam program ini.

"Dalam konteks konflik Israel-Palestin, pendidikan memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak memahami isu tersebut secara betul dan sejajar dengan pandangan kerajaan, mengelakkan naratif yang salah daripada media sosial.

"Krisis kemanusiaan di Palestin memerlukan seluruh warga Malaysia untuk sama-sama menyuarakan sokongan kepada kerajaan di atas ketegasan untuk menolak keganasan yang berlaku, yang mana ia telah mengorbankan ribuan nyawa masyarakat awam Palestin termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu bertujuan mendidik murid tentang nilai kemanusiaan yang merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan termasuk keprihatinan terhadap penderitaan individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.

Menurut kenyataan itu, program tersebut adalah kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik kerana ia berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Zairudin, krisis kemanusiaan di Palestin memerlukan seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyuarakan sokongan kepada kerajaan di atas ketegasan menolak keganasan yang berlaku.

“Konflik ini mengorbankan ribuan nyawa masyarakat awam Palestin termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa,” katanya.