59 pengunjung pusat hiburan positif dadah ditahan

Sebahagian pengunjung lelaki yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya pada Ahad.
Sebahagian pengunjung lelaki yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Polis menahan 59 individu dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam operasi jam 3 petang itu, pihaknya telah memeriksa seramai 108 pengunjung.

Menurutnya, daripada jumlah itu 30 lelaki dan 29 pengunjung wanita berusia antara 20 hingga 50-an ditahan selepas ujian saringan air kencing positif dadah jenis ketamin.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah (D7) telah membuat serbuan ke atas pusat hiburan itu.

"Kesemua mereka yang ditahan telah direman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha pusat hiburan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang," katanya lagi.

Artikel Berkaitan: